Semua universiti wajib tubuhkan Majlis Penasihat Industri

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim

KUALA LUMPUR, 21 Julai – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mewajibkan penubuhan Majlis Penasihat Industri di semua universiti awam bagi memastikan program akademik dan kurikulum yang ditawarkan sentiasa relevan dengan kehendak pasaran semasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Langkah sebahagian daripada Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 untuk mengatasi ketidakpadanan kerja dan tingkatkan kebolehpasaran graduan.
  • Integrasi sekurang-kurangnya satu subjek berkaitan Kecerdasan Buatan dalam setiap program pengajian bermula 2025.
  • Kerjasama strategik dengan Google, Microsoft dan Huawei bagi menawarkan sijil profesional industri dalam AI, Data Raya dan IoT.
  • Perluasan program Pembelajaran Berasaskan Pekerjaan 2u2i dan Ijazah Perantisan, sinergi agensi, serta tumpuan keusahawanan digital melalui PTK-IPT 2026-2030.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim berkata, langkah itu merupakan antara strategi komprehensif kerajaan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPPTM) 2026–2035 bagi mengatasi isu ketidakpadanan kerja dan meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Jelas beliau, KPT turut mengambil langkah proaktif dengan mewajibkan integrasi sekurang-kurangnya satu subjek berkaitan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi setiap program pengajian di universiti awam yang telah bermula pada tahun 2025.

“Melalui mekanisme ini, program pengajian, kurikulum serta perkembangan pendidikan dapat dipantau secara berterusan agar sentiasa selaras dengan keperluan industri.

“KPT sentiasa menerima maklum balas daripada pihak industri yang menekankan kepentingan kurikulum sentiasa dikemas kini agar seiring dengan perkembangan semasa serta perubahan yang berlaku di peringkat global, khususnya dalam bidang teknologi dan industri berteknologi tinggi.

“Sehubungan itu, dasar ini diwujudkan bagi memastikan setiap universiti menjalinkan kerjasama yang erat dengan pihak industri menerusi Majlis Penasihat Industri, sekali gus memastikan graduan yang dilahirkan memiliki pengetahuan dan kemahiran yang memenuhi kehendak pasaran pekerjaan,” katanya di Dewan Negara.

Bagi memperkukuh jaminan pekerjaan, Adam memaklumkan KPT telah menjalin kerjasama strategik dengan gergasi teknologi global seperti Google, Microsoft dan Huawei untuk menawarkan sijil profesional industri berkaitan AI, Data Raya, dan Internet of Things (IoT).

“Program Pembelajaran Berasaskan Pekerjaan (Work-Based Learning – WBL) seperti program 2u2i dan Ijazah Perantisan yang mengamalkan konsep meraih pendapatan sambil belajar (earn and learn) terus diperluas dengan melibatkan 70 peratus hingga 80 peratus sesi pembelajaran di tempat kerja.

“Pihak kementerian juga menggerakkan sinergi rentas agensi bersama PERKESO, portal MYFutureJobs, TalentCorp, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) untuk memastikan padanan kerjaya graduan adalah setaraf dengan kelulusan mereka,”katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Adam menegaskan bahawa KPT komited untuk mengubah landskap graduan daripada pencari kerja kepada pencipta peluang pekerjaan (job creator).

Menerusi Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (PTK-IPT) 2026–2030 yang diluncurkan pada 15 Mei lalu, penekanan khusus kini diberikan kepada penguasaan keusahawanan digital, ekonomi gig, dan keusahawanan sosial dalam kalangan mahasiswa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.