Kolaborasi RTM, media antarabangsa perkukuh pertukaran kandungan

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Sesi dialog bersama wakil organisasi media dari pelbagai negara dilihat mampu memperkukuh kefahaman terhadap latar belakang, peranan serta cabaran yang dihadapi setiap organisasi media.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlu memperkukuh kesinambungan kerjasama RTM bagi menyampaikan maklumat terbaik dan menghasilkan kandungan lebih signifikan kepada khalayak.
  • Orkestra RTM dianggap medium penyatuan dan diplomasi budaya, membuka peluang kolaborasi hiburan muzik antarabangsa.
  • Program inklusif seperti Selamat Pagi Malaysia mendekati rakyat, mempromosi produk tempatan dan menyokong pertumbuhan ekonomi.

Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail berkata menerusinya juga kerjasama pelbagai hala dapat ditingkatkan dari segi kandungan siaran sekali gus memperkukuh hubungan rakyat dengan rakyat.

“Melalui sesi dialog ini, masyarakat bukan sahaja dapat mengenali Malaysia dengan lebih dekat, malah berpeluang memahami negara-negara yang terlibat dengan lebih baik. Perkongsian kandungan wajar diteruskan, selaras hubungan yang telah dibina sejak RTM ditubuhkan.

“Justeru, kesinambungan kerjasama ini perlu diperkukuh kerana peranan utama RTM adalah untuk menyampaikan maklumat yang terbaik, meningkatkan kefahaman masyarakat, serta menghasilkan kandungan lebih signifikan dan bermakna kepada khalayak,” katanya selepas Sesi Dialog dan kunjungan daripada Malaysia Foreign Media Visitors Programme (MFMVP) di Angkasapuri Kota Media, di sini.

Sesi dialog berkenaan melibatkan penyertaan wakil dari 11 negara, antaranya Kenya, Uganda, Nigeria dan Indonesia.

Foto RTM

Tambah Ashwad, sesi berkenaan membuka peluang kepada RTM untuk memperkukuh kerjasama strategik bukan sahaja menerusi pertukaran kandungan.

“Orkestra RTM (ORTM) juga dilihat sebagai medium penyatuan dan diplomasi budaya di peringkat domestik serta antarabangsa,” katanya.

Perkara tersebut turut diakui wakil delegasi Indonesia, Andi Asrul Sani Fauzan yang memuji keistimewaan ORTM dan mahu melebarkan kolaborasi bersama.

“Saya kagum dengan keunikan dan keistimewaan yang dimiliki negara ini. Ketika bertemu dengan Ketua Pengarah Penyiaran, saya menyatakan hasrat untuk menghidupkan kembali kenangan serta hubungan erat yang pernah terjalin melalui kerjasama dalam bidang hiburan muzik antara Indonesia dan Malaysia.

“Saya percaya inisiatif ini merupakan peluang yang amat baik untuk menghasilkan program yang dapat memperkukuh lagi hubungan dua hala serta merapatkan silaturahim antara rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Sementara itu, wakil delegasi penyiaran dari Uganda, Wadulo Arnold Mark berkata RTM dan organisasi penyiaran di Uganda mempunyai peranan sama iaitu meletakkan kepentingan masyarakat sebagai keutamaan, tanpa berorientasikan keuntungan.

“Kita perlu mengenal pasti sama ada kita berperanan sebagai penyiar awam atau entiti swasta. Apabila perkara ini difahami dengan jelas kita akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya.

Wartawan dari Nigeria, Sarafina Christopher, turut memuji usaha RTM menerusi program yang mendekati masyarakat secara inklusif.

“Program Selamat Pagi Malaysia wajar dicontohi kerana merupakan platform berkesan dalam mendekati rakyat serta memastikan masyarakat sentiasa mendapat maklumat dan berasa dihargai sebagai sebahagian daripada proses pembangunan negara. Ia bukan sahaja mengukuhkan hubungan antara penyiar awam dan masyarakat, malah turut berperanan mempromosikan produk tempatan, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi serta perusahaan tempatan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.