Program MARA-SWITCHPRO buka laluan kerjaya bergaji premium

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperkukuh pembangunan modal insan negara menerusi Program Perantisan MARA-SWITCHPRO yang membuka laluan kerjaya bergaji premium kepada graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang elektrikal, automasi dan operasi pusat data.

RINGKASAN BERITA AI
  • Latihan setahun terstruktur: enam bulan latihan teknikal dan enam bulan kerja sebenar sebelum penyerapan ke syarikat rakan.
  • Gabungan teori, amali dan pembelajaran tempat kerja disokong pensijilan profesional Schneider Electric diiktiraf antarabangsa.
  • Kerjasama industri tingkatkan kebolehpasaran melebihi 99% dan peluang gaji premium, purata RM4,000 hingga RM5,000 selepas setahun perantisan.

Program berteraskan konsep ‘Education with Employment’ dan ‘Training-to-Employment’ itu menggabungkan latihan teori, latihan amali, pembelajaran di tempat kerja serta pensijilan profesional Schneider Electric yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, sekali gus memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi.

Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kerjasama strategik bersama industri bukan sahaja memastikan graduan TVET MARA terus mencatat kadar kebolehpasaran melebihi 99 peratus, malah berpeluang memperoleh gaji premium selaras dengan kemahiran dimiliki.

“Kita nak pastikan graduan TVET ini mendapat gaji premium. Contohnya macam hari ini, secara purata syarikat-syarikat ini menawarkan antara RM4,000 hingga RM5,000 untuk gaji mereka setelah mereka selesai setahun perantisan dengan syarikat di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara MARA dan rakan strategik serta Pelancaran Program Perantisan MARA-SWITCHPRO di ibu negara, hari ini.

Program tersebut menawarkan latihan berstruktur selama setahun yang merangkumi enam bulan latihan teknikal dan enam bulan latihan sambil bekerja sebelum peserta diserap ke syarikat yang bekerjasama.

Seramai 18 peserta Kohort 1 telah menamatkan latihan, manakala 22 peserta Kohort 2 akan memulakan latihan pada Ogos depan.

“MARA menyasarkan penyertaan 200 peserta dalam tempoh tiga tahun,” jelasnya lagi.

Menurut Datuk Dr. Asyraf Wajdi, kekuatan TVET MARA terletak pada kurikulum yang dibangunkan bersama industri serta pengiktirafan profesional yang meningkatkan daya saing graduan dalam pasaran pekerjaan.

“Semua program kita akan digabungkan bukan sahaja dengan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan diploma, tetapi juga dengan sijil-sijil profesional daripada industri.

Sebagai contoh dalam bidang elektrikal, mereka mendapat pengiktirafan daripada Schneider Electric Malaysia. Maknanya, apabila mendapat pengiktirafan seperti ini, lebih mudah untuk mereka mendapatkan pekerjaan dalam industri berkaitan,” jelasnya.

Pada majlis sama, MARA memeterai MoU bersama Bumi Perkasa Engineering Sdn. Bhd. (SIMATEC Industrial Training), Starlite Electrical Industries Sdn. Bhd. dan Advance Industrial Solutions Sdn. Bhd. bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan bakat sektor elektrikal, automasi dan operasi pusat data.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.