
ISKANDAR PUTERI, 20 Julai – Johor mula memperkemas persiapan membabitkan fasiliti sukan dan kemudahan penginapan sebagai persediaan menjadi antara lokasi penganjuran acara bola sepak pada Sukan SEA 2027.
- Penyelarasan bersama agensi bagi memastikan kemudahan sukan, logistik dan penginapan pada tahap terbaik.
- Fokus kepada pengalaman terbaik untuk atlet dan pelancong dari seluruh Asia Tenggara.
- Kerjasama dengan pengurusan hotel serta jabatan dan agensi bagi mengelakkan sebarang aduan.
- Tekanan khusus kepada penginapan dan layanan untuk memastikan Johor menjadi tuan rumah yang cemerlang.
Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, penyelarasan bersama agensi berkaitan sedang dilakukan bagi memastikan aspek kemudahan, logistik dan penginapan berada pada tahap terbaik sepanjang temasya berlangsung.
“Johor mahu memastikan kehadiran atlet serta pelancong dari seluruh Asia Tenggara mendapat pengalaman terbaik, sekali gus menjadikan penganjuran itu satu kenangan manis buat semua pihak.
“Saya mahukan penganjuran Sukan SEA di Johor khususnya acara bola sepak menjadi kenangan indah buat semua atlet yang datang dari seluruh Asia Tenggara. Dari segi fasiliti sukan, saya akan bersama-sama menyelaras dengan semua pihak termasuk pengurusan hotel serta jabatan dan agensi terlibat supaya tiada sebarang aduan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis mengimbas kad perakam waktu hari pertama penggal baharu di pejabat Majlis Sukan Negeri Johor,di sini, hari ini.
Mohd Hairi turut menegaskan, aspek penginapan dan layanan kepada atlet serta pengunjung akan diberi perhatian bagi memastikan Johor mampu menjadi tuan rumah yang cemerlang sepanjang temasya sukan berprestij itu.