SPRM terus teliti pelaburan KWAP dalam eFishery – PM Anwar

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 20 Julai- Keseluruhan proses pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat pemula teknologi akuakultur, eFishery akan terus diteliti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

RINGKASAN BERITA AI
  • SPRM akan meneruskan siasatan walaupun laporan awal tidak menemui unsur rasuah atau penyelewengan.
  • Perdana Menteri mengarahkan pengurusan KWAP memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan.
  • SPRM diminta meneliti proses pelaburan dan keputusan panel yang dipersetujui oleh lembaga.
  • Tiada kompromi jika wujud unsur rasuah; pengurusan dana berdasarkan ketelusan, akauntabiliti, due diligence dan penilaian risiko.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, siasatan diteruskan meskipun laporan awal menunjukkan tiada unsur rasuah atau penyelewengan berlaku.

“Saya telah menemui pengurusan KWAP untuk menyatakan mereka harus beri kerjasama sepenuhnya, walaupun melihat pada laporan awal, saya percaya tidak ada unsur-unsur sebegitu.

SPRM harus juga melihat proses pelaburan dan keputusan dibuat oleh panel pelaburan yang akhirnya dipersetujui oleh lembaga,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara.

Datuk Seri Anwar turut menegaskan, tiada kompromi sekiranya siasatan mendapati wujud unsur rasuah atau penyelewengan dikesan.

Beliau menjawab soalan Senator Mohd. Hasbie Muda mengenai strategi memastikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan KWAP terus memberikan pulangan terbaik kepada pencarum meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.

Dalam pada itu, Perdana Menteri memaklumkan, pengurusan dana persaraan negara dilaksanakan berlandaskan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik.

Setiap keputusan pelaburan dibuat secara profesional menerusi proses usaha wajar (due diligence), kajian kebolehlaksanaan dan penilaian risiko yang rapi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.