
KEMAMAN, 17 Julai — Penduduk di sepanjang pesisir Pantai Kijal di sini merayu pihak berkaitan menyegerakan penyelesaian terhadap masalah hakisan pantai yang semakin serius dan dibimbangi mengancam keselamatan serta kehidupan harian mereka.
- Hakisan berlarutan kira-kira tiga tahun, kini semakin kritikal dan menjejaskan struktur tanah serta kawasan berhampiran.
- Sebahagian laluan jalan runtuh atau semakin sempit mengancam keselamatan pengguna dan mengganggu laluan harian penduduk.
- Nelayan sukar menaikkan perahu kerana tebing terhakis; pendaratan ikan serta bangsal terjejas dan beberapa kali runtuh.
- JPS memantau; mitigasi dilaksanakan termasuk geobag dan revetment, serta cadangan penyelesaian jangka panjang dikaji.
Masalah yang berlarutan sejak kira-kira tiga tahun lalu itu didakwa semakin kritikal apabila hakisan menghampiri laluan utama penduduk selain menjejaskan struktur tanah dan kawasan berhampiran.
Tinjauan di lokasi mendapati sebahagian laluan jalan serta struktur tanah runtuh akibat hakisan sekali gus boleh membahayakan pengguna jalan dan penduduk setempat.
Penduduk yang kebanyakannya terdiri daripada nelayan pantai berkata hakisan itu semakin menghampiri jalan utama yang menjadi laluan harian ke jeti nelayan.
“Jalan memang bahaya sebab semakin sempit. Biasanya hari Jumaat dan Sabtu ramai orang lalu di sini, jadi memang susah,” kata seorang penduduk, Che Wan Nazri Mahmud.
Seorang lagi penduduk, Che Wan Mohd Saifudin Che Wan Jalil berkata keadaan hakisan semakin teruk sehingga menyukarkan nelayan menaikkan bot ke darat.
“Keadaan hakisan memang teruk. Nak naikkan perahu pun susah, kalau ombak besar lagi susah sebab tebing semakin terhakis,” katanya.
Sementara itu, Zakaria Ibrahim berkata penduduk semakin bimbang menjelang musim Monsun Timur Laut yang dijangka memburukkan lagi keadaan.
“Memang ada kebimbangan setiap kali musim tengkujuh. Bangsal di kawasan pendaratan ikan pun sudah beberapa kali runtuh akibat hakisan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Ir. Osman Abdullah berkata hakisan di Pantai Kijal ketika ini melibatkan kawasan sepanjang hampir 80 meter.
Beliau berkata JPS sentiasa memantau kawasan berkenaan dan telah melaksanakan beberapa langkah mitigasi termasuk pembinaan geobag dan revetment bagi mengurangkan impak hakisan.
“Cadangan penyelesaian jangka panjang turut dikemukakan dan tindakan susulan akan dilaksanakan berdasarkan penilaian teknikal serta keutamaan bagi memastikan keselamatan awam dan kelestarian kawasan pantai,” katanya.