Bencana ragut 163 nyawa di Nepal dalam tempoh tiga bulan

Foto fail / AFP

KATHMANDU, 17 Julai – Seramai 163 orang maut manakala seorang lagi masih hilang dalam 3,347 kejadian bencana di seluruh Nepal sepanjang tiga bulan lepas, menurut sebuah agensi kerajaan pada Jumaat, lapor Xinhua.

RINGKASAN BERITA AI
  • 972 orang cedera dalam tempoh tiga bulan akibat pelbagai bencana.
  • Gigitan ular mencatat kematian tertinggi, 39 mangsa dalam 525 kejadian.
  • 4,473 keluarga terjejas akibat pelbagai bencana sepanjang tiga bulan itu.

Kejadian yang berlaku antara pertengahan April hingga pertengahan Julai itu turut mengakibatkan 972 orang cedera, menurut Pihak Berkuasa Kebangsaan Pengurangan Risiko dan Pengurusan Bencana Nepal.

Gigitan ular merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan 39 mangsa dalam 525 kejadian sepanjang tempoh berkenaan. Insiden dipanah petir menjadi punca kematian kedua tertinggi dengan 25 mangsa, diikuti penyakit berkaitan altitud yang meragut 21 nyawa.

Seramai 4,473 keluarga terjejas akibat pelbagai bencana sepanjang tempoh tiga bulan itu.

Nepal yang terdedah kepada pelbagai jenis bencana alam merekodkan ribuan kematian berkaitan bencana setiap tahun. Jumlah kematian lazimnya meningkat ketika musim monsun berikutan pertambahan kejadian banjir, tanah runtuh dan sambaran petir. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.