Guterres puji usaha China rapatkan jurang AI global

Antonio Guterres/ REUTERS

SHANGHAI, 17 Julai Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres memuji usaha China dalam merapatkan jurang kecerdasan buatan (AI) antara negara, menjelang Persidangan Kecerdasan Buatan Dunia (WAIC) 2026 di Shanghai.

RINGKASAN BERITA AI
  • Guterres menegaskan AI tidak boleh menjadi hak eksklusif negara kaya atau syarikat besar; perlu platform sejagat untuk tadbir urus.
  • China menyokong pendekatan berteraskan rakyat, sumber terbuka, penyelidikan bersama dan pembangunan keupayaan bagi meluaskan akses AI kepada negara membangun.
  • Beijing menggalakkan kerjasama antarabangsa dan inisiatif tadbir urus global, selaras cadangan Presiden Xi, bagi memastikan manfaat AI dikongsi secara meluas.

Dalam temu bual Guterres bersama China Global Television Network (CGTN) selepas ketibaannya, beliau menegaskan AI tidak seharusnya dianggap sebagai keistimewaan yang hanya boleh dinikmati negara kaya atau syarikat besar.

“Kebimbangan utama kami adalah untuk mewujudkan satu platform sejagat yang membolehkan semua pihak terlibat dalam tadbir urus AI. AI tidak boleh menjadi milik sekumpulan negara kaya atau syarikat berpengaruh sahaja.

“AI berkait rapat dengan kehidupan kita semua. China banyak menyokong usaha ini, termasuk penubuhan panel saintifik bebas mengenai AI yang akan melaporkan secara bebas, melibatkan 40 pakar dari negara maju dan membangun bagi menetapkan garis panduan yang perlu dipatuhi,” katanya.

Menurut Guterres China mengamalkan pendekatan berteraskan rakyat serta prinsip penggunaan AI untuk kebaikan bersama.

Beijing melihat AI bukan sekadar aset strategik untuk disimpan atau dikuasai, sebaliknya sebagai pemacu pembangunan bersama yang manfaatnya perlu dikongsi secara meluas.

Usaha itu dilaksanakan menerusi pelbagai platform seperti WAIC, inisiatif sumber terbuka, penyelidikan bersama, pertukaran kepakaran serta program pembangunan keupayaan bagi memperluas akses kepada AI, khususnya kepada negara membangun.

China turut menggalakkan kerjasama antarabangsa dalam tadbir urus AI menerusi beberapa inisiatif termasuk Pelan Tindakan Pembangunan Keupayaan AI untuk Kebaikan dan Semua, Pelan Tindakan Tadbir Urus AI Global, serta Inisiatif Kerjasama Antarabangsa AI+.

Inisiatif berkenaan menekankan pembangunan AI yang berteraskan manusia, selamat dan inklusif, selain memberi negara membangun peluang lebih besar untuk terlibat serta menikmati manfaat teknologi itu.

Usaha China berkenaan membuka ruang untuk kerjasama lebih rapat antara Beijing dan PBB dalam mencapai matlamat tadbir urus AI global.

“Ini selaras dengan apa yang dilakukan Presiden Xi Jinping ketika mencadangkan Inisiatif Tadbir Urus AI Global. Pertemuan yang diadakan di Geneva dan yang akan berlangsung di Shanghai berkaitan tadbir urus AI bertujuan mewujudkan kumpulan negara yang memainkan peranan penting bagi memastikan AI dapat dimanfaatkan semua pihak,” katanya.

Guterres tiba di Shanghai pada Khamis bagi menghadiri Persidangan WAIC 2026 dan Mesyuarat Peringkat Tinggi Tadbir Urus AI Global berlangsung dari 17 hingga 20 Julai.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.