
KUALA TERENGGANU, 17 Julai – Seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kerugian RM56,375 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan cinta atau love scam yang memperdayakannya menerusi aplikasi Telegram.
- Mangsa berkenalan dengan seorang wanita melalui aplikasi Telegram pada 11 Mei.
- Suspek mendakwa bekerja di syarikat pemasaran dalam talian dan meminta mangsa meminjamkan wang untuk bayaran syarikat itu.
- Mangsa ditawarkan hubungan intim sekiranya membuat bayaran kepada suspek.
- Mangsa membuat 45 transaksi antara 11 Mei hingga 4 Julai, kemudian membuat laporan; kes disiasat di bawah Seksyen 420.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor berkata mangsa lelaki berusia 22 tahun itu berkenalan dengan seorang wanita melalui aplikasi Telegram pada 11 Mei lalu dan hanya mengenali suspek berdasarkan nama yang tertera pada akaun media sosial berkenaan.
Menurut beliau, suspek mendakwa bekerja di sebuah syarikat pemasaran dalam talian di Kuala Lumpur sebelum meminta mangsa meminjamkan wang kononnya bagi membuat bayaran kepada syarikat tersebut.
“Mangsa turut ditawarkan untuk menjalinkan hubungan intim sekiranya membuat bayaran kepada suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang terpedaya dengan pujukan suspek melakukan 45 transaksi daripada akaun bank miliknya ke akaun yang diarahkan suspek dalam tempoh 11 Mei hingga 4 Julai lalu.
Azli berkata, suspek dipercayai masih meminta wang daripada mangsa sebelum lelaki itu menyedari dirinya ditipu dan membuat laporan polis semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.