KLCC Precinct, George Town dan Kuching Selatan dipilih Daerah Sifar Sisa

Nga Kor Ming menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Penutup Sustainable Waste Management Conference & Exhibition (SWAM 2026)/Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 25 November – Tiga lokasi iaitu KLCC Precinct, George Town dan Kuching Selatan, Sarawak dikenal pasti sebagai kawasan pelaksanaan inisiatif Daerah Sifar Sisa (Zero Waste District) bagi memperkukuh pengurusan sisa pepejal mampan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fasa permulaan menerima kira-kira RM16 juta, manakala kerajaan menyasarkan pembiayaan antarabangsa sekitar AS$20 juta.
  • Program Trash to Cash mengumpul lebih 8.7 juta kilogram bahan kitar semula, dengan nilai jualan melebihi RM3.24 juta.
  • Pengasingan sisa berpotensi menjana nilai ekonomi apabila bahan buangan dikumpul, diproses dan dipasarkan semula.
  • KPKT merangka mekanisme sehenti bagi sisa perubatan, elektronik dan pembinaan, selain memperkukuh kerjasama penyelidikan serta teknologi.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata pelaksanaan fasa permulaan itu mendapat peruntukan kira-kira RM16 juta daripada Global Climate Fund, hasil kesepakatan kerajaan dengan dana antarabangsa berkenaan serta Climate Adaptation Fund.

Beliau berkata, kerajaan turut menyasarkan untuk mendapatkan pembiayaan antarabangsa berjumlah kira-kira AS$20 juta bagi memperluas usaha memelihara kelestarian alam sekitar.

“Ini merupakan fasa permulaan dan saya akan terus memperkasa usaha untuk terus mendapatkan peruntukan daripada dana antarabangsa bagi menjadikan Malaysia lebih bersih supaya kesejahteraan rakyat dapat kita bela bersama,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Persidangan dan Pameran Pengurusan Sisa Pepejal Mampan 2026 (SWAM 2026) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan program ‘Trash to Cash’ berjaya mengumpul lebih 8.7 juta kilogram bahan kitar semula sepanjang Januari hingga September tahun ini, dengan nilai jualan melebihi RM3.24 juta.

“Pencapaian itu memperlihat potensi ekonomi menerusi pengasingan bahan buangan yang masih mempunyai nilai untuk dikumpul, diproses dan dipasarkan semula.

“Kita perlu mengubah paradigma daripada melihat sisa sebagai bahan buangan kepada melihatnya sebagai satu sumber yang mempunyai nilai ekonomi,” katanya.

Pada masa sama, KPKT sedang merangka dasar bagi mewujudkan mekanisme sehenti pengurusan pelbagai kategori sisa termasuk sisa perubatan, elektronik dan pembinaan di bawah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN).

“Usaha memperkukuh ekosistem pengurusan sisa turut melibatkan kerjasama penyelidikan, inovasi dan pembangunan teknologi menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara SWCorp dengan Universiti Putra Malaysia (UPM), KPT Recycle Sdn. Bhd. dan Tetra Pak Malaysia,” ujar beliau lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.