
PUTRAJAYA, 16 Julai – Lebih 5.3 juta rakyat Malaysia dijangka menyertai sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2026 yang bakal berlangsung serentak di seluruh negara pada 9 hingga 11 Oktober depan, dalam usaha memperkukuh budaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan masyarakat.
- Tema HSN 2026: Teknologi Digital dan Kecerdasan Buatan bagi menggabungkan inovasi digital dengan gaya hidup aktif.
- HSN sebagai platform berterusan untuk menyemai budaya bersukan dan mencegah penyakit tidak berjangkit.
- Program utama termasuk Larian Ria MADANI, Berjalan Ria MADANI, segmen Malaysia Aktif, pameran sukan dan Rakan Muda.
- Perasmian kebangsaan oleh Perdana Menteri di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Oktober. Sarawak sambut 16 hingga 18 Oktober.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, edisi kali ini tampil dengan pendekatan baharu menerusi tema Teknologi Digital dan Kecerdasan Buatan (AI) bagi menggabungkan inovasi digital dengan amalan gaya hidup aktif sejajar perkembangan teknologi semasa.
Menurut beliau, HSN bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya platform berterusan untuk menyemai budaya bersukan dalam kalangan rakyat sebagai usaha pencegahan awal terhadap penyakit tidak berjangkit.
“Kalau kita lihat keadaan hospital yang semakin padat serta peningkatan kos rawatan penyakit kronik, prevention is better than cure. Sebab itu kita mahu memastikan masyarakat kekal aktif dan sihat melalui budaya bersukan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pra-Perasmian Hari Sukan Negara 2026 di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Putrajaya.
Tambah beliau, antara pengisian utama HSN 2026 termasuk Larian Ria MADANI, Berjalan Ria MADANI, segmen Malaysia Aktif, pameran industri sukan serta aktiviti berteraskan gaya hidup Rakan Muda yang merangkumi Rakan Aktif, Rakan Digital, Rakan Niaga dan Rakan Litar.
Selain menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat, HSN 2026 turut menjadi medan mengenal pasti serta mencungkil bakat baharu dalam bidang sukan yang berpotensi mengharumkan nama negara pada masa hadapan.
Majlis perasmian HSN 2026 peringkat kebangsaan dijadual disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Oktober depan.
Sementara itu, sambutan HSN 2026 di Sarawak akan berlangsung pada 16 hingga 18 Oktober.