
KUALA LUMPUR, 16 Julai – Perbelanjaan pengguna di Malaysia diunjur terus berkembang pada 2026, disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang stabil serta prospek pasaran pekerjaan yang kekal positif.
- Perbelanjaan isi rumah dijangka meningkat 4.2% pada 2026 kepada RM1.10 trilion, melepasi paras pra-pandemik 2019.
- Pasaran buruh kekal kukuh; pertumbuhan gaji sebenar dijangka melebihi inflasi dan menyokong kuasa beli pengguna.
- Risiko: hutang isi rumah tinggi, kos khidmat hutang dan dasar fiskal mengetat mengurangkan pendapatan boleh guna; tekanan global boleh naikkan pengangguran.
Menurut firma di bawah Fitch Solutions, BMI perbelanjaan isi rumah dijangka meningkat sebanyak 4.2 peratus tahun ke tahun kepada RM1.10 trilion (berdasarkan harga pada 2010), jauh melepasi paras sebelum pandemik COVID-19 pada 2019 iaitu RM779.7 bilion.
“Pasaran buruh yang kekal kukuh akan terus menyokong perbelanjaan pengguna, dengan pertumbuhan gaji sebenar dijangka mengatasi kadar inflasi dan memperkukuh kuasa beli sepanjang tahun.
“Pada 2027, keseluruhan perbelanjaan isi rumah dijangka berkembang pada kadar sebenar 4.1 peratus tahun ke tahun, mencecah RM1.14 trilion,” jelas BMI dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, pertumbuhan perbelanjaan pengguna dijangka berdepan kekangan susulan paras hutang isi rumah yang tinggi serta kos khidmat hutang.
Sementara itu, BMI mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang 4.3 peratus tahun ke tahun pada 2026 dan kekal stabil dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.0 peratus pada 2027.
Menurut BMI, berbeza dengan negara serantau lain, kedudukan Malaysia sebagai pengeksport bersih tenaga akan terus menyokong pendapatan eksport negara.
“Kami menjangkakan peningkatan hasil berkaitan petroleum serta dividen daripada Petronas akan membantu mengimbangi kenaikan kos subsidi dan pada masa sama mengukuhkan komitmen kerajaan terhadap usaha penyatuan fiskal.
“Ini bermakna dasar fiskal akan lebih menguncup, sekali gus mengurangkan pendapatan boleh guna isi rumah,” katanya.
Dari segi pasaran pekerjaan, BMI menjangkakan kadar pengangguran akan kekal rendah pada purata 3.1 peratus daripada jumlah tenaga buruh bagi 2026 dan 2027.
Prospek itu disokong oleh aliran pelaburan asing yang kukuh, prestasi sektor pelancongan yang semakin baik serta peningkatan aktiviti dalam sektor utama termasuk perniagaan tani, elektronik dan pembuatan.
Namun, terdapat risiko untuk kadar pengangguran menjadi lebih tinggi sekiranya senario ekonomi global bertambah buruk.