12 pemandu ditahan selepas positif dadah

Pengarah JPJ Terengganu, Mohd Zamri Samion (tengah). Foto/Bernama

DUNGUN, 16 Julai – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu melakukan saringan air kencing terhadap 235 pemandu pelbagai jenis kenderaan dalam Ops Bersepadu Dadah Terhadap Kenderaan Perdagangan di Terengganu bermula 1 Januari hingga 16 Julai.

RINGKASAN BERITA AI
  • 12 pemandu berusia 35 hingga 45 tahun ditahan selepas disahkan positif dadah.
  • Lima daripada mereka merupakan pemandu kenderaan perdagangan, tujuh pemandu pelbagai jenis kenderaan.
  • Kementerian Pengangkutan mengarahkan penguatkuasaan dipertingkatkan bagi memastikan pemandu bebas daripada pengaruh dadah.
  • Operasi bersepadu bersama AADK, polis, APAD, Puspakom dan MOTAC, turut fokus kesalahan teknikal dan lalu lintas.

Pengarah JPJ Terengganu, Mohd Zamri Samion berkata daripada jumlah berkenaan, seramai 12 pemandu berusia antara 35 hingga 45 tahun ditahan selepas didapati positif dadah.

Menurut Mohd Zamri, daripada jumlah tersebut seramai lima orang merupakan pemandu kenderaan perdagangan dan tujuh pemandu pelbagai jenis kenderaan.

“Operasi dijalankan ekoran peningkatan jumlah kemalangan membabitkan kenderaan perdagangan yang menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna jalan raya.

“Jadi ini satu angka yang sangat rendah dan kita mengharapkan angka ini tidak meningkat. Kita akan sentiasa berwaspada kerana penggunaan bahan larangan seperti methamphetamin ini sangat berisiko di atas jalan raya.

“Dalam hal ini kita mengharapkan semua pihak syarikat mengambil serius terhadap operasi yang dijalankan di seluruh negara. Kita pasti akan mengambil tindakan serius,” jelasnya.

Mohd Zamri berkata demikian dalam Ops Khas Bersepadu Dadah Terhadap Kenderaan Perdagangan Tahun 2026 di kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Paka di sini.

Sementara itu, menurut Mohd Zamri, Kementerian Pengangkutan turut mengarahkan tindakan penguatkuasaan dipertingkatkan bagi memastikan para pemandu mematuhi undang-undang serta bebas daripada pengaruh dadah ketika berada atas jalan raya.

Mengulas mengenai operasi yang dilaksanakan pada Khamis, beliau memaklumkan, seramai 24 pemandu kenderaan perdagangan menjalani ujian saringan air kencing, namun tiada yang disahkan positif dadah.

Operasi berkenaan dilaksanakan secara bersepadu bersama agensi strategik seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), polis, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Puspakom serta Kemenenterian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Ia turut memberi fokus kepada kesalahan-kesalahan lain seperti kesalahan teknikal dan kesalahan lalu lintas melibatkan Akta Pengangkutan Jalam 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.