Lelaki disyaki ugut ibu guna senjata tajam ditahan

Tangkap layar video tular memaparkan seorang lelaki disyaki mengugut ibunya menggunakan senjata tajam

SUNGAI PETANI, 16 Julai – Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an bagi membantu siasatan selepas video tular memaparkan suspek dipercayai mengugut seorang wanita yang dipercayai ibunya menggunakan objek disyaki senjata tajam di hadapan Pejabat Zakat Daerah Kuala Muda, di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi ugutan jenayah.
  • Polis akan mengesan saksi dan mendapatkan rakaman daripada sudut lain untuk siasatan menyeluruh.
  • Polis menghargai orang awam yang merakam kejadian dan membuat laporan sehingga tindakan diambil.
  • Suspek tiada rekod jenayah lampau dan setakat ini polis belum menemui senjata yang dipercayai digunakan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, suspek ditahan selepas polis menerima laporan berhubung kejadian yang tular di media sosial semalam.

“Suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dibawa ke mahkamah hari ini bagi permohonan reman untuk membantu siasatan. Polis sedang menyiasat sama ada suspek benar-benar melakukan ugutan atau kekerasan terhadap wanita berkenaan yang dipercayai ibunya.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya ketika ditemui pemberita pada satu program Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), di sini hari ini.

Pihaknya akan menjalankan siasatan menyeluruh termasuk mengesan saksi kejadian dan mendapatkan rakaman video daripada sudut lain bagi memastikan sama ada benar berlaku unsur keganasan atau hanya salah faham akibat sudut rakaman.

Hanyan turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang merakam kejadian serta membuat laporan polis sehingga membolehkan tindakan segera diambil.

Mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau rakaman berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan.

Menurutnya, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan sehingga kini polis masih belum menemukan sebarang senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.