Ekonomi negara perlu seimbang dengan pembangunan modal insan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Pertumbuhan ekonomi negara perlu bergerak seiring dengan pembangunan modal insan, modal sosial dan nilai kemanusiaan, bukan sekadar berpaksikan pencapaian petunjuk ekonomi makro.

RINGKASAN BERITA AI
  • Utamakan ekonomi manusiawi yang memelihara martabat, kebajikan dan bukan hanya pertumbuhan serta keuntungan.
  • Penggubal dasar, majikan dan NGO perlu menilai pembangunan berdasarkan manfaat nyata kepada rakyat.
  • Tanya untuk siapa dasar dilaksanakan dan atasi jurang pendapatan antara pengurusan tertinggi dengan pekerja.
  • Reformasi pendidikan dengan penerapan nilai kemanusiaan bagi melahirkan modal insan berkemahiran dan bermoral kukuh.

Menurut Pakar Ekonomi dan Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi (FEM), Profesor Datuk Dr. Saadiah Mohamad, pendekatan itu selaras konsep ekonomi manusiawi yang memastikan kemajuan yang dicapai bukan sahaja berorientasikan pertumbuhan dan keuntungan, malah turut memelihara martabat serta kebajikan rakyat.

Pendekatan tersebut menuntut perubahan dalam cara penggubal dasar, majikan dan badan bukan kerajaan (NGO) menilai pembangunan supaya hasil pertumbuhan ekonomi benar-benar diterjemahkan kepada peningkatan kesejahteraan masyarakat.

“Ekonomi bukan sekadar angka dan pengiraan matematik. Pada akhirnya, kita perlu bertanya untuk siapa sesuatu dasar itu dilaksanakan dan sejauh mana manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat?

”Kesedaran ini perlu ada dalam kalangan pembuat dasar dan majikan supaya pekerja terus disantuni, manakala sektor swasta tidak hanya mengejar keuntungan ketika jurang pendapatan antara pengurusan tertinggi dengan pekerja bawahan masih melebar,” katanya selepas program Biz Malaysia di TV1.

Penggubal dasar juga memerlukan kerjasama erat daripada masyarakat dan NGO bagi memperoleh data makro serta mikro yang lebih tepat agar setiap perancangan pembangunan memenuhi keperluan sebenar rakyat.

Pada masa sama, beliau turut mencadangkan reformasi sistem pendidikan diperkukuh melalui penerapan nilai kemanusiaan bagi melahirkan modal insan yang bukan sahaja berkemahiran tinggi, malah memiliki nilai moral yang kukuh.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.