
LANGKAWI, 16 Julai– Bekas ketua jurulatih Kedah, Robert Albert menyifatkan perlawanan Langkawi Merdeka Cup Nostalgia 1993 sebagai medan terbaik untuk mengimbau detik bersejarah antara legenda bola sepak Kedah dan Singapura.
- Selepas 33 tahun, bekas pemain dua pasukan berkumpul semula meraikan persahabatan dan saling menghormati antara Kedah dan Singapura.
- Robert Albert memimpin Kedah 1992-1995 dan membawa pasukan menjuarai Piala Malaysia 1993, menewaskan Singapura 2-0.
- Perlawanan Nostalgia 1993 dijadual 29 Ogos di Stadium LADA dengan kehadiran legenda Kedah dan Singapura.
Beliau berkata, perlawanan itu turut mengeratkan semula hubungan yang terjalin sejak kedua-dua pasukan bertemu pada final Piala Malaysia 1993.
“Kami amat menghormati pasukan Singapura sejak dahulu lagi.
Selepas 33 tahun, sudah tiba masanya kami berkumpul semula bagi meraikan persahabatan yang terjalin antara bekas pemain kedua-dua pasukan,” katanya di sini.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Penaung Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah, Datuk Zuraidi Rahim.
Robert Albert membimbing Kedah dari 1992 hingga 1995, termasuk membawa skuad Hijau Kuning muncul juara Piala Malaysia 1993 selepas menewaskan Singapura 2-0 di Stadium Merdeka.
Langkawi Merdeka Cup Nostalgia 1993 dijadual berlangsung di Stadium LADA, Langkawi pada 29 Ogos sempena sambutan Hari Kebangsaan.
Ia dijangka menghimpunkan beberapa legenda Kedah seperti Alumbumi Adegun, Tibor Zabán, Radhi Mat Din, Faridzuan Che Hamid, Feriza Ismail dan Lim Teong Kim.
Legenda Singapura yang dijangka beraksi pula termasuk Fandi Ahmad, Malek Awab, Abbas Saad dan Alistair Edwards.