
TEHRAN, 16 Julai – Tentera Amerika Syarikat (AS) melancarkan satu lagi siri serangan udara ke atas kedudukan tentera Iran pada Rabu.
- Serangan menyasarkan sistem pertahanan pantai serta tapak penyimpanan dan pelancaran peluru berpandu jelajah di Pulau Greater Tunb.
- CENTCOM sahkan operasi 90 minit menggunakan peluru berpandu berkuasa tinggi untuk melumpuhkan keupayaan yang mengancam kapal komersial.
- Siri serangan menyusul operasi tujuh jam sebelumnya yang membedil puluhan sasaran termasuk pangkalan dron dan sistem pertahanan udara.
- Kerajaan Iran dakwa lebih 30 awam terkorban dan lebih 260 cedera; pegawai menegaskan Iran tidak tinggalkan meja rundingan.
Serangan berkenaan menyasarkan sistem pertahanan pantai serta tapak penyimpanan dan pelancaran peluru berpandu jelajah di Pulau Greater Tunb.
Markas Pemerintahan Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) mengesahkan operasi ketenteraan selama 90 minit itu menggunakan peluru berpandu berkuasa tinggi bagi melumpuhkan keupayaan ketenteraan Iran yang didakwa digunakan untuk mengancam kapal komersial di Selat Hormuz.
Serangan berkenaan menyusul selepas operasi ketenteraan selama tujuh jam pada hari sebelumnya, di yang menyaksikan AS membedil puluhan sasaran termasuk pangkalan dron, keupayaan maritim, dan sistem pertahanan udara di sepanjang pantai Iran.
Operasi udara itu bermula pada pukul 6:00 pagi waktu Pantai Timur (Waktu tempatan) dengan matlamat untuk terus mengurangkan keupayaan jentera perang Iran yang sering digunakan bagi menyerang kapal-kapal komersial di laluan strategik berkenaan.
Menurut CENTCOM, sejak operasi ketenteraan laut terhadap pelabuhan-pelabuhan Iran disambung semula, tentera AS juga telah bertindak mengarah dan memesongkan laluan dua kapal komersial yang dikesan cuba melanggar sekatan maritim tersebut.
Di sebalik siri serangan bom berkenaan, jurucakap kerajaan Iran, Fatemeh Mohajerani, memaklumkan menerusi X bahawa tindakan ketenteraan AS di selatan Iran baru-baru ini telah mengorbankan lebih 30 orang awam.
Ketua Perhubungan Awam Kementerian Kesihatan Iran, Hossein Kermanpour, turut mendedahkan bahawa lebih daripada 260 rakyat Iran mengalami kecederaan akibat siri serangan berterusan oleh tentera AS sepanjang bulan ini.
Sementara itu, Timbalan Menteri Luar Iran bagi Hal Ehwal Undang-undang dan Antarabangsa, Kazem Gharibabadi, menegaskan negaranya tidak pernah meninggalkan meja rundingan.
Sebaliknya, beliau menjelaskan bahawa AS yang bertindak membatalkan Memorandum Persefahaman Islamabad dan Iran tidak akan sesekali melutut untuk merayu rundingan damai. – REUTERS