Risiko demensia boleh dicegah hingga 45% – WHO

Foto Janaan Ai/RTM

GENEVA, 15 Julai – Sehingga 45 peratus risiko demensia boleh dicegah atau dilengahkan menerusi perubahan gaya hidup dan pengurusan kesihatan, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

RINGKASAN BERITA AI
  • Faktor risiko boleh diubah termasuk merokok, alkohol, kurang aktiviti fizikal, pencemaran udara dan pengasingan sosial meningkatkan kemungkinan demensia.
  • WHO mengemas kini garis panduan pencegahan; cadangan termasuk rangsangan kognitif dan pengurusan tekanan darah, diabetes serta kolesterol tinggi.
  • Demensia bukan sebahagian normal penuaan; ia penyebab utama kematian, ketidakupayaan dan membebankan keluarga serta sistem penjagaan.

WHO dalam kenyataan terbaharu memaklumkan, faktor risiko yang boleh diubah seperti merokok, pengambilan alkohol, kurang aktiviti fizikal, pencemaran udara serta pengasingan sosial menyumbang kepada peningkatan risiko penyakit itu.

Demensia kini merupakan penyebab kematian ketujuh utama dunia dan antara punca utama ketidakupayaan serta kebergantungan dalam kalangan warga emas.

Penyakit yang menjejaskan fungsi otak ini memberi kesan kepada memori, pemikiran serta keupayaan menjalani kehidupan harian.

Secara global, lebih 57 juta individu hidup dengan demensia, dengan hampir 10 juta kes baharu direkodkan setiap tahun.

Bentuk paling lazim ialah Alzheimer, yang merangkumi sekitar 60 hingga 70 peratus daripada keseluruhan kes.

Pengarah Jabatan Penyakit Tidak Berjangkit dan Kesihatan Mental WHO, Devora Kestel berkata, kesan demensia bukan sahaja melibatkan kesihatan, malah turut menjejaskan maruah, kebebasan dan kesejahteraan individu serta keluarga.

WHO turut menegaskan bahawa demensia bukan sebahagian normal proses penuaan, walaupun ia lebih kerap berlaku selepas usia 65 tahun.

Sehubungan itu, WHO mengemas kini garis panduan pencegahan bagi membantu petugas kesihatan dan pembuat dasar meningkatkan kesedaran serta intervensi awal.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, langkah pencegahan kini menjadi strategi paling berkesan memandangkan tiada penawar khusus bagi demensia.

Antara cadangan utama termasuk rangsangan kognitif, latihan minda, serta pengurusan penyakit seperti tekanan darah tinggi, diabetes dan kolesterol tinggi.

WHO juga menggesa integrasi lebih kukuh antara perkhidmatan penyakit tidak berjangkit, kesihatan mental dan kesihatan otak.

Menurut WHO, demensia dianggarkan menelan kos global sebanyak AS$1.3 trilion setiap tahun, dengan hampir separuh daripadanya melibatkan penjagaan tidak berbayar oleh ahli keluarga dan rakan.

Justeru, usaha memahami faktor risiko dan mengambil langkah pencegahan bukan sahaja mampu meningkatkan kualiti hidup, malah membantu individu hidup lebih sihat.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.