MOSTI sasar 1.8 juta penyertaan Malaysia Techlympics 2026, perkenal platform AI AiRIMAU

Foto MOSTI/ Malaysia Techlympic

PUTRAJAYA, 15 Julai – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melancarkan Malaysia Techlympics 2026 (MT2026), dengan menyasarkan penyertaan seramai 1.8 juta pelajar dan belia dari seluruh negara menerusi penganjuran edisi kelima program berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • MOSTI perkenal AiRIMAU, platform pembelajaran pintar untuk meneroka teknologi Agentic AI dan pendedahan awal kepada teknologi masa depan.
  • MT2026 memupuk minat remaja 6 hingga 30 tahun dalam STEM melalui pertandingan interaktif luar bilik darjah dengan kerjasama KPM.
  • Program menawarkan 90 pertandingan dan 182 modul termasuk robotik, dron, keselamatan siber serta teknologi hijau dan teknologi baharu industri.
  • MT2026 tekankan keterangkuman melalui jangkauan ke sekolah luar bandar dan penyertaan pelajar PPKI, serta jadual zonal hingga peringkat akhir kebangsaan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata, antara tarikan utama MT2026 ialah pengenalan AiRIMAU, platform pembelajaran pintar yang membolehkan peserta meneroka teknologi Agentic Artificial Intelligence (Agentic AI).

Beliau berkata, platform itu mencerminkan komitmen MOSTI untuk memastikan generasi muda mendapat pendedahan awal kepada teknologi masa depan, selain membina keupayaan memanfaatkan teknologi secara bertanggungjawab, kreatif dan beretika.

“Pengenalan platform AiRIMAU ini mencerminkan komitmen MOSTI untuk memastikan generasi muda Malaysia mendapat pendedahan awal kepada teknologi masa hadapan serta membina keupayaan mereka untuk memanfaatkan teknologi secara bertanggungjawab, kreatif dan beretika,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malaysia Techlympics 2026 merupakan inisiatif MOSTI bagi memupuk minat generasi muda berusia antara enam hingga 30 tahun dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menerusi pertandingan interaktif di luar bilik darjah, dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM).

Sebanyak 90 pertandingan melibatkan 182 modul sains, teknologi dan inovasi (STI) ditawarkan pada edisi kali ini, merangkumi bidang robotik, dron, keselamatan siber, teknologi hijau serta pelbagai teknologi baharu yang sejajar dengan keperluan industri masa depan.

Selain itu, MT2026 turut memberi penekanan kepada aspek keterangkuman menerusi program jangkauan ke sekolah luar bandar dan penyertaan pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Menurut MOSTI, usaha itu bertujuan memperluas akses masyarakat terhadap ilmu pengetahuan, teknologi dan inovasi, di samping meningkatkan pembudayaan serta literasi STI di seluruh negara.

Siri pertandingan peringkat zon akan berlangsung dari Julai hingga September ini, bermula di Zon Selatan di TAR UMT, Johor sebelum diteruskan ke zon lain di seluruh negara.

Peringkat Akhir Kebangsaan pula dijadual berlangsung pada November depan di MAEPS, Serdang.

MOSTI berkata, penganjuran MT2026 diharap dapat melahirkan generasi yang berdaya saing, inovatif dan celik teknologi, sekali gus memperkukuh peranan STI sebagai pemacu kesejahteraan rakyat, kemakmuran negara dan pembangunan Malaysia MADANI.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.