
KUALA LUMPUR, 15 Julai – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang memperkukuh ketahanan rangkaian telekomunikasi negara bagi mengurangkan gangguan internet walaupun pengguna menerima isyarat telefon penuh.
- Pelaksanaan jaringan lewah dan laluan penghantaran alternatif mengurangkan risiko titik kegagalan tunggal.
- Menaik taraf kapasiti rangkaian dan memperluas liputan melalui Pelan JENDELA.
- Pemantauan tapak komunikasi 24 jam membolehkan pengesanan serta pemulihan gangguan segera.
- 43 aduan liputan internet di Baram diselesaikan; bayaran sewaan tapak kepada pemilik tanah diteruskan bulanan.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, langkah itu termasuk menyediakan laluan penghantaran alternatif bagi mengelakkan kegagalan talian teras, selain menaik taraf kapasiti rangkaian dan memperluas liputan di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Jelasnya, kesemua tapak komunikasi turut dipantau 24 jam bagi membolehkan sebarang gangguan dikesan dan dipulihkan dengan segera.
“Sebagai usaha untuk mengawal kejadian gangguan perkhidmatan akibat vandalisme dan kecurian, MCMC dan pemberi perkhidmatan terus memperkukuh infrastruktur komunikasi melalui pelaksanaan jaringan lewah (link redundancy) dan penyediaan laluan penghantaran alternatif bagi mengurangkan risiko atau single point of failure, serta menaik taraf kemudahan sokongan seperti sistem jana kuasa sandaran.
“Langkah-langkah ini bertujuan meningkatkan daya tahan rangkaian dan memastikan kesinambungan perkhidmatan sekiranya gangguan pada mana-mana bahagian rangkaian,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Baram, Datuk Anyi Ngau berhubung pelan tuntas MCMC mengatasi masalah kegagalan talian teras supaya rakyat tidak lagi kerap mengalami situasi isyarat telefon penuh tetapi tidak dapat mengakses internet di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, Teo turut memaklumkan, sebanyak 43 aduan rasmi berkaitan liputan internet di Baram yang diterima antara Januari hingga Jun lepas telah diselesaikan.
Tambah beliau, bayaran sewaan tapak kepada pemilik tanah bagi pembinaan menara telekomunikasi turut diteruskan secara bulanan selagi menara beroperasi.