
SEPANG, 15 Julai – Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam dan isteri, Jane Ittogi Shanmugaratnam, hari ini berlepas pulang ke Singapura selepas menamatkan lawatan negara selama tiga hari ke Malaysia.
- Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim hadir mengucapkan selamat jalan kepada Presiden Tharman dan delegasinya.
- Lawatan negara dilakukan atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
- Beliau menghadiri Istiadat Sambutan Negara di Istana Negara dan menghadap Sultan Ibrahim.
- Tharman mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pasangan itu tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 1.45 tengah hari sebelum menuju ke Terminal 1 untuk menaiki pesawat Malaysia Airlines MH619 yang berlepas pada pukul 2.20 petang.
Turut hadir bagi mengucapkan selamat jalan kepada Tharman dan delegasinya ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim.
Lawatan negara Tharman berlangsung dari 13 hingga 15 Julai atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Sepanjang lawatan, Tharman menghadiri Istiadat Sambutan Negara di Istana Negara, menghadap Sultan Ibrahim serta mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Lawatan itu merupakan lawatan negara pertama Tharman ke Malaysia sejak mengangkat sumpah sebagai Presiden Singapura pada September 2023.