
KUALA LUMPUR, 15 Julai – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi SME Corp Malaysia melaksanakan pelbagai inisiatif berimpak tinggi, termasuk program Bumiputera Rapid Acceleration and Value Enhancement (BRAVE) bagi memperkukuh penyertaan usahawan Bumiputera dalam sektor pertumbuhan dan bernilai tinggi.
- RM15 juta diperuntukkan untuk BRAVE bagi mempercepat PKS Bumiputera berpotensi disenaraikan di Bursa Malaysia.
- Sehingga Jun, 27 PMKS menyertai BRAVE; sasaran kerajaan ialah lima hingga 10 syarikat disenaraikan menjelang 2030.
- KUSKOP laksana PRESTIGE 2.0, Dana Pemangkin, PKSLestari dan Program Kesediaan penyenaraian untuk tingkatkan PKS berimpak tinggi.
Timbalan Menterinya Datuk Mohamad Alamin berkata program BRAVE diperkenalkan dengan peruntukan sekali beri sebanyak RM15 juta bagi mempercepat pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera yang berpotensi tinggi untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.
Beliau berkata hingga Jun lepas, sebanyak 27 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Bumiputera menyertai program berkenaan, dan kerajaan menyasarkan lima hingga 10 syarikat disenaraikan menjelang 2030.
Menurutnya KUSKOP turut melaksanakan Program Peningkatan Industri Strategik dan Syarikat Berprestasi Tinggi (PRESTIGE) 2.0, Dana Pemangkin Penskalaan PKS, Program PKSLestari serta Program Kesediaan PKS untuk Penyenaraian di Bursa Malaysia.
“Hingga Jun tahun ini, 12 PKS Bumiputera telah diluluskan pinjaman dan geran bernilai RM4.9 juta yang terdiri daripada PKS dalam industri berimpak tinggi seperti elektrikal dan elektronik (E&E), bioteknologi serta peranti perubatan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Datuk Mohamad menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berkenaan pelan tindakan SME Corp untuk meningkatkan penyertaan usahawan Bumiputera dalam sektor bernilai tinggi seperti teknologi digital, semikonduktor, tenaga boleh baharu, aeroangkasa dan ekonomi hijau serta sasaran yang ditetapkan menjelang 2030.
Menjawab soalan tambahan mengenai cabaran dihadapi usahawan mikro susulan ketidaktentuan ekonomi global dan kebanjiran produk import, beliau berkata kerajaan memperkenalkan Program Sinar di bawah SME Corp dengan peruntukan RM202 juta bagi membantu syarikat dan perusahaan yang terjejas.
KUSKOP akan terus memperluas peluang usahawan PMKS menembusi pasaran antarabangsa menerusi penyertaan dalam ekspo perdagangan global, termasuk memberikan tumpuan kepada usahawan di Sabah dan Sarawak.
Kementerian juga sedang merancang program khas bagi membantu usahawan di kedua-dua negeri itu memanfaatkan peluang pasaran serantau, khususnya susulan pembangunan ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan.