Polis Afrika Selatan siasat kematian mengejut Jayden Adams

pemain bola sepak kebangsaan Afrika Selatan, Jayden Adams / REUTERS

CAPE TOWN, 14 Julai – Polis Cape Town telah membuka kertas siasatan berhubung kematian mengejut pemain bola sepak kebangsaan Afrika Selatan, Jayden Adams, yang mayatnya ditemui sejurus pulang daripada beraksi di kejohanan Piala Dunia di Amerika Syarikat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mayat Jayden Adams ditemui di kediaman di Schotsche Kloof, Cape Town.
  • Punca kematian masih belum didedahkan oleh pihak berkuasa.
  • Adams beraksi dalam Piala Dunia walau baru kehilangan nenek; satu minit tafakur diadakan sebagai penghormatan.

Pemain tengah berusia 25 tahun itu ditemui meninggal dunia di sebuah kediaman di kejiranan Schotsche Kloof, Cape Town.

Berita dukacita itu disahkan oleh Kesatuan Pemain Bola Sepak Afrika Selatan pada Sabtu.

Bagaimanapun, punca sebenar kematian pemain berkenaan masih belum didedahkan oleh pihak berkuasa.

Sepanjang kempen Piala Dunia, Adams mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi apabila turun beraksi dalam dua daripada tiga perlawanan, meskipun baru sahaja kehilangan neneknya, sehari sebelum aksi menentang Republik Czech yang berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Mendiang kemudiannya diturunkan sebagai kesebelasan utama ketika tewas 0-2 kepada Mexico, selain beraksi sebagai pemain gantian sewaktu membantu pasukan mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Korea Selatan, sebelum Afrika Selatan tersingkir di tangan Kanada pada 28 Jun lepas.

Bapa pemain itu, Juanito Adams menyifatkan pemergian anaknya sebagai satu tamparan hebat dan sukar untuk diterima oleh seluruh ahli keluarga mereka.

“Seluruh dunia sedang meratapi pemergian Jayden. Seperti yang saya katakan, ia amat sukar bagi kami.

“Kami dapat melihat kasih sayang yang ditunjukkan oleh dunia terhadap bakat bola sepak dan diri Jayden sendiri,” katanya kepada agensi berita Afrika Selatan, eNCA, Ahad lalu.

Sebagai tanda penghormatan, tafakur selama seminit telah diadakan sebelum sepak mula perlawanan suku akhir antara England dan Norway pada Sabtu.

Sementara itu, Menteri Sukan, Kesenian dan Kebudayaan Afrika Selatan, Gayton McKenzie menerusi satu kenyataan turut menyatakan rasa kagum terhadap pengorbanan mendiang yang tetap memilih untuk menyarung jersi kebangsaan demi negara dalam tempoh berduka.

“Keputusan mendiang untuk memberikan segala-galanya buat negara dalam saat sukar itu mencerminkan kekuatan karakter dan profesionalisme yang melangkaui usianya, sekali gus menggambarkan kualiti pemuda yang telah hilang daripada negara ini,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.