
ATLANTA, 14 Julai – England bertekad untuk menamatkan impian Lionel Messi untuk menjulang trofi Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut, sekali gus memburu slot ke perlawanan akhir buat kali pertama dalam tempoh enam dekad menjelang pertemuan separuh akhir menentang musuh tradisi, Argentina pada Khamis.
- Jude Bellingham cemerlang, jadi penyelamat England termasuk gol kemenangan masa tambahan menewaskan Norway.
- Pertembungan mengimbau memori perseteruan lama, termasuk jaringan 'Hand of God', kad merah Beckham dan isu Falkland.
- Scaloni menegaskan fokus Argentina hanya pada aksi 90 minit, meredakan ketegangan luar padang.
- Jordan Pickford mengingatkan rakan, jangan fokus hanya pada Messi; perhatikan keseluruhan kualiti pasukan Argentina.
Skuad “Three Lions” yang ditunjangi aksi cemerlang perancang muda, Jude Bellingham bakal membuat perhitungan dengan juara bertahan itu di stadium berbumbung ikonik di Atlanta, venue yang menyaksikan kemenangan bergaya skuad kendalian Lionel Scaloni pada awal kejohanan berkenaan.
Pertembungan kompetitif pertama kedua-dua gergasi bola sepak dunia itu sejak Piala Dunia 2002 pastinya menggamit semula memori perseteruan lama, termasuk jaringan ikonik ‘Hand of God’ oleh Diego Maradona pada 1986, layangan kad merah David Beckham pada 1998, selain menghidupkan kembali isu sensitif kedaulatan Kepulauan Falkland.
Bagaimanapun, Scaloni pantas meredakan ketegangan luar padang dengan menegaskan fokus pasukannya hanyalah kepada aksi 90 minit permainan.
“Mesej saya mudah, ini adalah perlawanan bola sepak. Itu sahaja yang boleh saya katakan,” ujar Scaloni selepas membimbing pasukannya menewaskan Switzerland 3-1 di peringkat suku akhir, Ahad lepas.
Di atas kertas, England hanya selangkah sahaja lagi untuk mara ke perlawanan Piala Dunia buat kali pertama sejak menjulang trofi berkenaan pada tahun 1966.
Bagi Argentina pula, mereka bertekad melangkah ke perlawanan akhir buat kali ketiga dalam empat edisi Piala Dunia, sekali gus berada di landasan terbaik untuk muncul negara pertama mempertahankan kejuaraan sejak kali terakhir dilakukan Brazil pada 1962.
“Skuad ini tidak pernah jemu melakar sejarah. Mereka sentiasa mahukan lebih lagi. Bukannya mudah selepas bergelar juara dunia untuk terus mengekalkan persaingan di tahap tertinggi dan kembali ke separuh akhir,” kata Messi, 39, yang bakal menentang England buat kali pertama dalam karier antarabangsanya.
Laluan kedua-dua pasukan ke peringkat empat terbaik ini bagaimanapun tidak begitu mudah.
Argentina terpaksa bekerja keras pada pusingan kalah mati apabila diheret ke masa tambahan sebelum menewaskan Cape Verde 3-2, menundukkan Mesir 3-2 di Atlanta, dan menewaskan Switzerland 3-1.
Sementara itu, England memulakan kempen dengan kemenangan 4-2 ke atas Croatia, sebelum bangkit menewaskan Republik Demokratik Congo 2-1 hasil dua gol Harry Kane, dan menundukkan Mexico 3-2 menerusi kebangkitan dramatik yang dipacu Bellingham.
Bellingham sekali lagi muncul penyelamat dengan meledak dua gol termasuk gol kemenangan pada masa tambahan untuk membantu England menewaskan Norway 2-1 di Miami pada hujung minggu lalu.
Menyedari ancaman yang bakal dibawa Argentina, penjaga gol England Jordan Pickford mengingatkan rakan sepasukan agar tidak hanya memberi tumpuan kepada pemenang Ballon d’Or lapan kali itu.
“Kita semua tahu betapa hebatnya Messi, tetapi kita juga tahu kualiti yang ada pada keseluruhan pasukan Argentina. Kami tidak boleh hanya bergantung kepada usaha menyekat Messi semata-mata,” katanya.
Faktor kecergasan fizikal mungkin menjadi pemisah bagi kedua-dua pasukan memandangkan Argentina membariskan purata umur pemain melebihi 30 tahun ketika menentang Switzerland, berbanding England yang mempertaruhkan skuad lebih muda dengan purata usia 26.6 tahun ketika menentang Norway.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada aksi persahabatan November 2005 yang menyaksikan England menang 3-2 hasil dua jaringan Michael Owen, namun Messi yang ketika itu berusia 18 tahun tidak diturunkan.-AFP