
LABUAN, 14 Julai- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Labuan menahan seorang lelaki warga Filipina selepas memeriksa 55 individu dalam Operasi Sasar yang dijalankan di sebuah pusat beli-belah di pulau ini, semalam.
- 55 individu diperiksa dalam operasi di sebuah pusat beli-belah.
- Operasi dijalankan antara 11 pagi hingga 3.50 petang, diketuai Azizan Ma Samali bersama lima pegawai.
- Seorang lelaki warga Filipina berusia 55 tahun ditahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tiada dokumen sah.
- Saman dikeluarkan kepada wakil majikan; suspek dibawa ke Depot Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Pengarah JIM Labuan, Mohd Redzuan Nawi berkata operasi yang bermula dari pukul 11.00 pagi hingga 3.50 petang itu diketuai Ketua Unit Aduan Risikan Operasi, Azizan Ma Samali bersama lima pegawai penguat kuasa.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki warga Filipina berusia 55 tahun ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah.
“Sehubungan itu, lelaki berkenaan dibawa ke Depot Imigresen Labuan untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, satu saman saksi turut dikeluarkan kepada wakil majikan bagi membantu siasatan.
Mohd Redzuan berkata JIM Labuan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi mengesan pendatang asing yang melanggar undang-undang imigresen.
Beliau turut mengingatkan majikan supaya tidak menggaji warga asing tanpa dokumen perjalanan atau pas yang sah kerana boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.
Operasi Sasar merupakan antara usaha berterusan JIM untuk membanteras pelanggaran undang-undang imigresen serta memastikan pematuhan terhadap peraturan yang berkuat kuasa di negara ini.