
PARIT BUNTAR, 13 Julai – Saingan Liga Bola Sepak Piala Menteri Pendidikan Malaysia Bawah 14 Tahun 2026 dengan kerjasama rakan strategik, 100PLUS semakin sengit dalam usaha pasukan merebut slot ke suku akhir.
- SMK Mutiara Impian kukuh di puncak Kumpulan A selepas kemenangan 3-1, kini 10 mata.
- SMK Shah Alam satu mata di belakang selepas kemenangan besar 5-0 ke atas SMK Mergong.
- SMK Seri Titiwangsa dominan di Kumpulan B, menang 6-0 dan kekal rekod 100 peratus.
- Persaingan kumpulan C dan D ketat dengan beberapa seri; AMD U14 kini menerajui Kumpulan D.
Lapan perlawanan yang berlangsung pada Sabtu lalu menyaksikan beberapa pasukan gergasi terus menyengat, termasuk SMK Mutiara Impian dan SMK SeriTitiwangsa yang mengekalkan rekod bersih.
Dalam aksi Kumpulan A, SMK Mutiara Impian terus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas selepas menewaskan SMK Tabuan Jaya, 3-1.
Tiga gol kemenangan skuad kendalian Muhd Faqhri Sobri itu dijaringkan oleh Muhd Habib Muslim, Muhd Safwan Salihin dan Muhd Qayyum Qadri, manakala gol sagu hati lawan dijaringkan Kelvin Luis Lajah.
Keputusan itu meletakkan SMK Mutiara Impian selesa dengan 10 mata selepas empat perlawanan.
“Walaupun menang, kami perlu terus memburu perbezaan gol yang besar dalam liga kali ini.
“Sasaran kami adalah muncul juara kumpulan bagi mengelak daripada bertemu juara kumpulan lain di pusingan seterusnya,” kata Muhd Faqhri.
Mengekori rapat ialah SMK Shah Alam yang mencatat kemenangan ketiga berturut-turut selepas menang besar 5-0 ke atas SMK Mergong, hanya dibezakan satu mata di belakang pendahulu.
Dalam pada itu, dominasi mutlak dipamerkan SMK Seri Titiwangsa dalam Kumpulan B apabila membelasah SMK Mutiara, 6-0.
Kemenangan tersebut sekali gus mengekalkan rekod 100 peratus mereka dengan enam mata daripada dua perlawanan.
Ketua jurulatihnya, Amir Ikhmal Zuhaimi, menyifatkan kemenangan besar itu penting untuk persaingan perbezaan gol dengan pencabar terdekat, JDT (SMK Taman Desa Skudai).
“Kami perlu meningkatkan keupayaan menyerang untuk menambah jumlah gol kerana persaingan sangat sengit. Kemenangan ini membuka ruang lebih luas untuk kami ke suku akhir,” katanya.
Sementara itu, SMK Seksyen 11 kembali menghidupkan peluang selepas menundukkan SMK Putrajaya Presint 8(1), 3-0.
Dalam pada itu, kumpulan C menyaksikan persaingan sengit dengan pertembungan tunggal antara SMK Seri Kota dengan SMK Datuk Peter Mojuntin berakhir seri 1-1.
Keputusan itu menyaksikan SMK Seri Kota kini berkongsi enam mata bersama SSTMI dan SMK Taman Desa Skudai.
Dalam saingan kumpulan D pula, dua perlawanan berakhir tanpa pemenang apabila SMK Kampong Chengal terikat 1-1 dengan SMK Seberang Temerloh, manakala SMK Ibrahim Fikri turut mencatat keputusan sama menentang SMK Putera.
Setakat ini, Akademi Mokhtar Dahari (AMD) U14 kekal menerajui Kumpulan D dengan enam mata, dicabar SMK Bukit Nenas yang berkongsi mata sama.