
AYER KEROH, 13 Julai – Kerajaan Melaka akan meneliti cadangan pelaksanaan projek tebatan banjir baharu di kawasan Tanjung Minyak bagi menangani masalah banjir yang telah berlarutan lebih 20 tahun.
- Ketua Menteri arah EXCO berbincang dengan JPS, MBMB dan agensi berkaitan untuk menyediakan cadangan penyelesaian tebatan banjir.
- Cadangan tersebut akan dikemukakan kepada kerajaan negeri untuk pertimbangan dan tindakan selanjutnya.
- Kerajaan negeri menyatakan simpati kepada penduduk terjejas dan jamin meneruskan usaha penambahbaikan mengurangkan risiko banjir.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, beliau telah mengarahkan exco berkaitan untuk mengadakan perbincangan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan bagi menyediakan cadangan penyelesaian sebelum dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
“Saya telah meminta EXCO Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Pengurusan Banjir dan Infrastruktur Melaka, Datuk Rais Yasin supaya mengemukakan cadangan dan berbincang dengan pihak Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) serta Jabatan Pengairan dan Saliran bagi menyediakan cadangan tebatan banjir baharu untuk kawasan tersebut.
“Cadangan berkenaan akan dikemukakan kepada kerajaan negeri untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Persidangan Kedua, Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh.
Datuk Seri Ab Rauf turut menzahirkan simpati kepada penduduk yang terjejas akibat banjir dan memberi jaminan bahawa kerajaan negeri tidak akan berdiam diri, sebaliknya akan meneruskan usaha penambahbaikan bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan terlibat.