
KUALA LUMPUR, 13 Julai- Malaysia menggesa pemansuhan kuasa veto dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang disifatkan tidak adil serta menjejaskan kredibiliti badan dunia itu, kata Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni.
- Menyokong reformasi menyeluruh Majlis Keselamatan, memperkukuh ketelusan dan sistem perwakilan lebih adil mengikut realiti geopolitik semasa.
- Mengundi sokong Resolusi Perhimpunan Agung 76/262 (2022) yang menghendaki Perhimpunan Agung bersidang dan ahli tetap memberi penjelasan selepas veto.
- Mengemukakan pencalonan rasmi untuk anggota tidak tetap Majlis Keselamatan 2036-2037 dan memperjuangkan reformasi pada UNGA Ke-81.
Beliau berkata Malaysia konsisten menyokong reformasi menyeluruh terhadap Majlis Keselamatan PBB termasuk usaha memperkukuh ketelusan serta memastikan sistem perwakilan yang lebih adil selaras dengan realiti geopolitik semasa.
Menurutnya, penggunaan kuasa veto perlu dimansuhkan terutama dalam menangani konflik di Asia Barat serta mempertahankan hak rakyat Palestin.
“Antara kemajuan yang tercapai dalam menambah baik dan meningkatkan ketelusan Majlis Keselamatan PBB ialah kelulusan inisiatif veto melalui Resolusi Perhimpunan Agung PBB 76/262 pada 2022.
“Malaysia telah mengundi menyokong resolusi ini yang menetapkan bahawa apabila kuasa veto dilaksanakan oleh mana-mana anggota tetap Majlis Keselamatan PBB, Perhimpunan Agung PBB secara automatik perlu bersidang dalam tempoh 10 hari bekerja untuk membahaskan isu yang telah diveto.
“Penjelasan juga perlu diberikan oleh anggota tetap Majlis Keselamatan PBB yang berkaitan,” katanya ketika menjawab soalan asal Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali di Dewan Rakyat hari ini.
Datuk Lukanisman berkata Malaysia turut menyokong peluasan keanggotaan tetap dan tidak tetap Majlis Keselamatan PBB bagi memastikan setiap rantau mendapat perwakilan lebih seimbang.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata Malaysia telah mengemukakan pencalonan rasmi untuk menganggotai semula Majlis Keselamatan PBB sebagai anggota tidak tetap bagi tempoh 2036 hingga 2037.
Katanya, pendirian Malaysia berhubung reformasi Majlis Keselamatan PBB akan terus diperjuangkan pada sesi Debat Umum Perhimpunan Agung PBB Ke-81 di New York, September depan.
Jelasnya, komitmen itu mencerminkan usaha berterusan Malaysia dalam memperjuangkan keamanan sejagat serta mempertahankan pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa.