Inisiatif perumahan petugas FELDA disambut baik

Foto RTM

ALOR GAJAH, 13 Julai – Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan bagi membiayai projek baik pulih dan pembinaan rumah baharu petugas Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) disambut baik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan petugas FELDA.
  • Kediaman lebih selesa dijangka meningkatkan motivasi petugas dalam memberi perkhidmatan kepada peneroka.
  • Pengurus Rancangan menyambut baik dan berterima kasih; inisiatif menjaga kebajikan petugas.
  • Penyelia Rancangan menyokong baik pulih atau pembinaan rumah baharu bagi memberi lebih keselesaan kepada petugas.

Bagi petugas di FELDA Tun Ghafar Hutan Percha, Melaka, inisiatif itu mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan mereka.

Mereka optimis kemudahan kediaman yang lebih selesa mampu meningkatkan motivasi petugas dalam menjalankan perkhidmatan kepada warga peneroka.

“Saya, bagi pihak petugas FELDA, menyambut baik dan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang telah mengumumkan inisiatif ini.

“Alhamdulillah, dengan adanya inisiatif ini, kebajikan petugas FELDA terus terpelihara dan diberi perhatian,” kata Pengurus Rancangan FELDA Tun Ghaffar Hutan Percha, Affif Yahya.

“Saya sangat setuju rumah-rumah kakitangan FELDA dibaik pulih atau dibina baharu.

“Langkah ini akan memberikan lebih keselesaan kepada petugas-petugas FELDA,” kata Penyelia Rancangan Tanah Felda Tun Ghafar Hutan Percha, Kamaruddin Abdul Karim.

Terdahulu, pada Majlis Sambutan Hari Peneroka dan 70 Tahun FELDA baru-baru ini, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM450 juta bagi tempoh tiga tahun untuk membiayai kerja baik pulih serta pembinaan rumah baharu petugas FELDA di tanah rancangan seluruh negara.