Pelan kontingensi diperkukuh, tingkat pengeluaran makanan domestik

Datuk Chan Foong Hin/ Bernama

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Kerajaan memperkukuh pelan kontingensi keterjaminan makanan negara menerusi undang-undang baharu, teknologi kecerdasan buatan (AI) dan projek berimpak tinggi bagi meningkatkan pengeluaran makanan domestik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Merangka perundangan khusus seperti RUU Keterjaminan Makanan Negara dan RUU Baja bagi memastikan bekalan, kestabilan harga dan kurang kebergantungan import.
  • Memperkukuh pemantauan pasaran melalui Portal SISDA dengan sistem amaran awal untuk membolehkan intervensi proaktif dan cepat.
  • Meningkatkan kadar sara diri; SSR daging lembu dan kerbau serta susu segar menunjukkan pertumbuhan, mengukuhkan bekalan domestik.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, langkah itu dilaksanakan bawah Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 dan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 bagi memastikan bekalan makanan kekal stabil ketika berdepan ketidaktentuan global.

“Antara pelan kontingensi yang telah diambil oleh kerajaan termasuk merangka perundangan khusus seperti Rang Undang-Undang (RUU) Keterjaminan Makanan Negara dan RUU Baja untuk memastikan jaminan bekalan makanan dan input pertanian berterusan, kestabilan harga, pengurangan kebergantungan import serta akses kepada makanan yang sihat dan berkhasiat.

“Dalam masa sama, memperkukuh pemantauan pasaran menerusi sistem amaran awal menggunakan kecerdasan buatan (AI) bawah Portal Pengawasan serta Intervensi Bekalan dan Pasaran Agromakanan (SISDA).

“Selain itu, membolehkan intervensi proaktif dilaksanakan dengan cepat dan memanfaatkan 13.61 juta isi rumah menerusi Program Jualan Agro MADANI (JAM) yang menghubungkan pengeluar pertanian kepada pengguna,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berhubung pelan kontingensi komprehensif kerajaan mendepani unjuran krisis bekalan makanan dan keberkesanan insentif bagi melonjakkan kadar sara diri (SSR) domestik susulan lonjakan berterusan kos input pertanian global berikutan krisis Asia Barat di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, kerajaan turut meningkatkan SSR dengan daging lembu dan kerbau meningkat kepada 18.4 peratus pada 2025 berbanding 16.8 peratus pada 2024, manakala SSR susu segar meningkat kepada 81.8 peratus daripada 66.7 peratus.