Lelaki terjun sungai, PGA rampas 15 tong gas LPG

Foto PGA

KOTA BHARU, 12 Julai- Seorang lelaki melarikan diri dengan terjun ke sungai dan berenang menghala ke Thailand selepas dikesan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam rondaan, sebelum menemui sebuah perahu bersama 15 tong gas petroleum cecair (LPG) di Pengkalan Haram Mekza, Simpangan, Kelantan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi Taring Wawasan Kelantan dijalankan kira-kira 8.00 malam oleh Strike Force Kompeni C, Batalion 9 PGA Kuala Terengganu.
  • Pemeriksaan menemui 15 tong gas LPG 14 kilogram jenama Petronas dipercayai untuk kegiatan penyeludupan melalui laluan tidak diwartakan.
  • Sebuah penimbang turut dirampas; keseluruhan rampasan bernilai dianggarkan RM11,560 dan diserahkan kepada KPDN Kelantan untuk tindakan lanjut.

Kejadian berlaku kira-kira 8.00 malam tadi menerusi Operasi Taring Wawasan Kelantan yang dijalankan Strike Force Kompeni C, Batalion 9 PGA Kuala Terengganu.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata ketika anggota menjalankan rondaan motosikal di kawasan berkenaan, mereka mengesan sebuah perahu dinaiki seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, ketika anggota cuba menghampiri perahu itu, lelaki terbabit bertindak terjun ke sungai dan berenang menghala ke Thailand.

“Hasil pemeriksaan menyeluruh terhadap perahu berkenaan menemukan 15 tong gas petroleum cecair berkapasiti 14 kilogram yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan melalui laluan tidak diwartakan.

“Selain itu, sebuah penimbang turut dirampas bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Radzi berkata, keseluruhan rampasan membabitkan sebuah perahu, 15 tong gas LPG dan sebuah penimbang dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM11,560.

Beliau berkata kesemua barang kes telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurutnya, tindakan susulan akan dijalankan terhadap pemilik perahu bagi membantu siasatan lanjut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.