PRN Johor: 55 calon hilang wang deposit

Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 12 Julai – Sebanyak 55 calon hilang wang deposit masing-masing selepas gagal memperoleh undi sekurang-kurangnya satu perlapan daripada keseluruhan jumlah undi yang dikira pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Barisan Nasional menang majoriti dengan memenangi 48 daripada 56 kerusi DUN, memperolehi mandat menerajui semula Kerajaan Negeri Johor.
  • Perikatan Nasional mencatatkan kemerosotan: 21 calon PN hilang wang deposit dan tiga kerusi mereka pada PRN 2022 tewas.
  • Parti Bersama Malaysia menerima tamparan besar apabila kesemua 15 calonnya hilang wang deposit.

Perikatan Nasional (PN) yang mempertaruhkan 33 calon melibatkan 16 daripada Bersatu, 11 PAS, lima Parti Kemajuan India Malaysia (MIPP) dan seorang daripada Pejuang menjadi gabungan terbesar yang merekodkan calon kehilangan wang deposit, iaitu sebanyak 21 orang.

Paparan keputusan rasmi di laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan PN bukan sahaja gagal melebarkan penguasaan, malah terpaksa melepaskan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi mereka pada PRN Johor 2022, iaitu Bukit Kepong, Maharani dan Endau.

Sementara itu, Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang baharu mewarnai kancah politik tanah air berdepan tamparan hebat apabila kesemua 15 calonnya hilang wang deposit.

Pakatan Harapan (PH) pula merekodkan sejumlah tujuh calon daripada gabungan itu yang kehilangan wang deposit.

Selain itu, kesemua enam calon Bebas, empat daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), serta dua calon tunggal yang masing-masing mewakili Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) turut hilang wang deposit mereka.

Dalam pada itu, calon dalam lingkungan umur 18 hingga 40 tahun mencatatkan jumlah hilang deposit tertinggi, iaitu sebanyak 41 peratus atau melibatkan 21 daripada keseluruhan 51 calon yang bertanding.

PRN Johor ke-16 menyaksikan Barisan Nasional (BN) memperoleh mandat untuk menerajui semula Kerajaan Negeri Johor selepas memenangi 48 daripada keseluruhan 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Sementara itu, PH memperoleh lapan kerusi manakala calon PN, Bersama, MUDA, ASLI, PSM dan Bebas gagal memenangi sebarang kerusi.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.