
KUALA LUMPUR, 11 Julai- Seramai 79 pemuzik muda dari Malaysia dan Thailand menyertai Konsert Orkestra Belia Malaysia-Thailand 2026 di Istana Budaya, hari ini, menerusi Program Diplomasi Budaya Malaysia-Thailand 2026.
- Persembahan orkestra mengetengahkan karya muzik rakyat kedua-dua negara bagi memperkukuh hubungan budaya dan pertukaran seni.
- Konduktor Eric Lee berkata pemilihan lagu rakyat dipilih kerana lebih signifikan dalam konteks pertukaran budaya.
- Konsert turut menampilkan pameran kebaya meraikan pengiktirafan UNESCO terhadap warisan budaya tidak ketara.
- Program dianjurkan MOTAC menerusi Istana Budaya dengan kerjasama Thailand sebagai inisiatif diplomasi budaya memperkukuh hubungan dua hala.
Program berkenaan menampilkan persembahan orkestra yang mengetengahkan karya muzik rakyat kedua-dua negara dalam usaha memperkukuh hubungan budaya serta pertukaran seni antara Malaysia dan Thailand.
Konduktor Residen Orkestra Simfoni Kebangsaan (NSO), Eric Lee berkata pemilihan lagu rakyat berbanding karya klasik pada konsert itu dibuat kerana ia lebih signifikan dalam konteks pertukaran budaya.
Menurutnya, program berkenaan dirancang sejak tiga hingga empat bulan lalu sebagai sebahagian daripada usaha diplomasi budaya bersama Thailand.
“Pada tahun ini, kita berjaya membawa pemuzik muda dari Thailand ke Kuala Lumpur untuk menyertai konsert ini.
“Kami juga amat bertuah kerana Bahagian Hubungan Antarabangsa Kebudayaan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) banyak membantu dalam menguruskan keseluruhan program ini,” katanya kepada RTM.
Sementara itu, konsert berkenaan turut menampilkan pameran kebaya bagi meraikan pengiktirafan busana tradisional itu sebagai elemen warisan budaya tidak ketara di bawah kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO).
Program Diplomasi Budaya Malaysia-Thailand 2026 dianjurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Istana Budaya dengan kerjasama Jabatan Promosi Kebudayaan, Kementerian Kebudayaan Thailand, yang berlangsung dari 9 hingga 13 Julai 2026 di Istana Budaya.
Inisiatif itu merupakan antara usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Thailand menerusi pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama kebudayaan yang dimeterai pada Disember 2024.