PENA beri sokongan penuh penguatkuasaan Bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam

Dr. Mohamad Saleeh Rahamad

KUALA LUMPUR, 11 Julai – Penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu secara mutlak dalam urusan rasmi perkhidmatan awam perlu dipatuhi sepenuhnya bagi memastikan kedudukan bahasa kebangsaan terus diperkukuh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Presiden PENA Dr. Mohamad Saleeh Rahamad menyokong penuh pemugaran semula arahan JPA untuk memartabatkan Bahasa Melayu.
  • Surat edaran JPA menegaskan keutamaan penggunaan Bahasa Melayu selaras Perkara 152 Perlembagaan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberi penekanan terhadap pelaksanaan arahan itu dalam mesyuarat rasmi.

Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr. Mohamad Saleeh Rahamad menyokong penuh penegasan semula yang dilaksanakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), sekali gus menyifatkan langkah itu tepat dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Ketetapan berkenaan telah lama ditegaskan Kerajaan, namun masih terdapat pihak yang terlepas pandang dalam pelaksanaan itu.

“Ini sepatutnya kita perkuatkan bukan kita lemahkan lagi. Jadi apabila ada ketegasan dan pemugaran semula arahan itu, walaupun kita kesal sebenarnya kenapa perlu diulang-ulang tetapi itu perlu dilakukan.

“Saya sangat menyokong tentang keputusan ataupun pemugaran arahan oleh JPA itu agar semua pihak yang memegang punca kuasa menyedari peranan mereka adalah untuk memertabatkan Bahasa Melayu ini sebagai agenda pembentukan negara bangsa yang berdaulat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita RTM pada program Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ke-40 2026 dan Sayambera Deklamasi Puisi Kemerdekaan ke-2 di ibu negara.

Terdahulu, JPA dalam satu surat edaran memaklumkan Penggunaan Bahasa Melayu perlu diutamakan secara mutlak dalam semua urusan rasmi perkhidmatan awam selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32).

Penekanan itu turut selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM), Ceraian PO.1.1.1: Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Melayu Dalam Perkhidmatan Awam.

Surat edaran itu turut diagihkan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negara Bilangan 1 Tahun 2026 pada 8 Julai lalu turut memberi penekanan terhadap perkara itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.