Kejohanan Super Novice 2 Labuan cungkil bakat perenang muda

Foto RTM

LABUAN, 11 Julai – Usaha mencungkil bakat dan menarik minat perenang muda terus diperkasakan menerusi penganjuran Kejohanan Super Novice 2 yang menghimpunkan 200 peserta bawah 12 tahun di Kolam Renang Kelab Golf Labuan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyertaan terbesar dari 27 sekolah rendah dan prasekolah, 172 acara bagi kategori bawah 7 hingga bawah 12 termasuk atlet para.
  • Acara melibatkan gaya bebas, kuak dada, kuak kupu-kupu dan kuak lentang.
  • Kejohanan memberi pendedahan awal kepada perenang baharu, menarik minat mereka dan mengeratkan silaturahim antara atlet para serta kelab renang.

Kejohanan anjuran Kelab Renang Blue Dolphin (BDSC) itu membabitkan rekod penyertaan terbesar daripada 27 sekolah rendah dan prasekolah di sini, dengan mempertandingkan 172 acara bagi kategori bawah tujuh hingga bawah 12 tahun termasuk atlet para.

Timbalan Presiden BDSC, Ooi Swee Siang berkata saingan yang berlangsung itu melibatkan pelbagai disiplin sukan renang antaranya acara gaya bebas, kuak dada, kuak kupu-kupu dan kuak lentang.

“Tujuan utama kejohanan ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan awal kepada perenang yang baharu, selain menarik minat mereka untuk menceburi sukan renang ini dengan lebih mendalam.

“Pada masa yang sama, kejohanan ini turut menjadi platform terbaik dalam mengeratkan hubungan silaturahim antara atlet para serta kelab-kelab renang yang ada di Labuan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Swee Siang berkata penganjuran kali ini turut menampilkan lapan atlet BDSC yang pernah mewakili Labuan ke Kejohanan Renang Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), sekali gus memberi inspirasi kepada perenang muda yang lain.

Majlis penganjuran kejohanan tersebut telah disempurnakan oleh Penolong Pengarah Kanan Sektor Pembangunan Pelajar, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Mohd Fadzli Sheikh Abdul Rahim.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.