KPM sasar perluas Karnival Pendidikan MADANI ke 10,000 sekolah seluruh negara

Ketua Setiausaha kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Wan Hashim Wan Rahim / RTM

KUALA LUMPUR, 11 Julai – Kementerian Pendidikan (KPM) menyasarkan penganjuran Karnival Pendidikan MADANI di kira-kira 10,000 buah sekolah bagi memperluas penyampaian agenda pendidikan di seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penganjuran diselaraskan melalui Pejabat Pendidikan Daerah; sekolah berminat digalakkan menganjurkan dengan sokongan KPM.
  • Program bertujuan mendekati ibu bapa, guru dan murid serta memperkenalkan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035.
  • Inisiatif bagi melahirkan pelajar cemerlang akademik, sahsiah dan nilai serta mengeratkan kerjasama antara agensi, sektor swasta, institusi dan komuniti.

Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Wan Hashim Wan Rahim berkata, penganjuran tersebut akan diselaraskan melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dengan semua sekolah yang berminat digalakkan menganjurkannya menerusi sokongan KPM.

Beliau berkata, program itu juga bertujuan mendekati ibu bapa, guru dan murid, selain memperkenalkan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035.

“Rancangan itu menjadi panduan memperkukuh sistem pendidikan negara, membangunkan ekosistem pembelajaran yang menyeluruh serta melahirkan pelajar cemerlang dan berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada RTM selepas merasmikan Fiesta Pendidikan MADANI di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Saujana, hari ini.

Melalui inisiatif itu katanya, KPM menyasarkan untuk melahirkan pelajar cemerlang dalam akademik, sahsiah dan nilai selaras dengan aspirasi pendidikan negara.

Beliau berkata, program itu turut menjadi wadah mengeratkan kerjasama antara KPM, agensi kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan dan komuniti, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

“KPM komited menyediakan pendidikan berkualiti, inklusif dan relevan dengan keperluan semasa. Saya juga menyeru agar semangat kerjasama serta kebersamaan yang dizahirkan melalui program ini terus diperkukuhkan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.