PRN Johor: PDRM buka 25 kertas siasatan, terima 90 laporan

Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 11 Julai – Sebanyak 90 laporan polis diterima sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berakhir semalam, dengan 25 kertas siasatan dibuka membabitkan pelbagai kesalahan termasuk perbuatan khianat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kes siasatan kebanyakan berkaitan khianat, termasuk merosakkan bahan kempen serta mencabut dan membakar bendera.
  • Semua kertas siasatan dibuka dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu terlibat.
  • Polis memberi jaminan memantau keselamatan; tinjauan di pusat mengundi SMK Taman Molek mendapati undi berjalan lancar dengan 13 saluran, lebih 8,000 pengundi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata kebanyakan kes yang disiasat melibatkan perbuatan merosakkan bahan kempen seperti mencabut dan membakar bendera parti.

Jelas beliau, semua kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang terlibat.

“Kebanyakan kes yang disiasat adalah lebih kepada kes khianat melibatkan beberapa individu tertentu. Ada juga tindakan membakar bendera dan sebagainya. Semuanya kita telah buka kertas siasatan serta setakat ini masih lagi dalam proses bagi mencari mereka yang terlibat,” tegasnya.

Pihaknya memberi jaminan akan terus memantau keselamatan sepanjang proses pilihan raya berlangsung bagi memastikan suasana kekal aman dan terkawal.

Tan Sri Mohd Khalid berkata demikian selepas mengadakan tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Molek di sini.

Sementara itu, hasil tinjauan di pusat mengundi berkenaan mendapati proses pengundian berjalan lancar melibatkan 13 saluran dengan lebih 8,000 pengundi berdaftar.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.