
ALOR SETAR, 11 Julai – Lebih 5,000 peserta dan pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat memeriahkan program Alor Setar Car Free Saturday di Dataran Medan Bandar, hari ini.
- Program mempromosikan gaya hidup sihat dan mesra alam.
- Keberangkatan Sultan dan kerabat diraja menyerikan acara.
- Pelbagai aktiviti riadah dan kebudayaan, serta inisiatif Sabtu pertama setiap bulan untuk kurangkan pelepasan karbon.
Program yang mempromosikan gaya hidup sihat dan mesra alam itu diserikan dengan keberangkatan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Turut berangkat Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff, serta Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin dan Tunku Puan Mahkota Kedah, Che Puan Nur Julie Ariff.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Seri Norizan Khazali dan Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya.
Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program termasuk persembahan tarian naga, pancaragam, angklung, Gendang 24 Musim dan Silat Tari Bunga.
Pengunjung turut menyertai aktiviti Jom Kayuh Gerek, Royal Run sejauh lima kilometer, Eco Brisk Walk sejauh 2.6 kilometer, senamrobik Zumba serta mengunjungi gerai jualan yang disediakan.
Inisiatif Alor Setar Car Free Saturday dianjurkan pada Sabtu pertama setiap bulan bagi menggalakkan warga bandar raya mengurangkan pelepasan karbon, di samping membudayakan gaya hidup aktif, sihat dan penggunaan ruang awam yang lebih lestari.