
KUALA LUMPUR, 11 Julai – Inisiatif perumahan yang diumumkan kerajaan untuk warga FELDA berupaya membantu menyelesaikan isu perumahan generasi kedua peneroka, sekali gus menggalakkan mereka terus menetap serta membina masa depan di tanah rancangan.
- Peruntukan RM15.85 juta mempertingkatkan kemudahan digital di 317 rancangan FELDA, dijangka menyokong pembangunan ekonomi komuniti.
- Infrastruktur digital lebih baik kurangkan kos operasi usahawan, kembangkan e-dagang dan mewujudkan sumber pendapatan tambahan untuk peneroka.
- Kerajaan umum tujuh inisiatif termasuk RM150 juta (554 unit terbengkalai), RM20 juta untuk Projek SKF, dan RM450 juta baikpulih serta bina rumah petugas.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mustazar Mansur berpandangan bantuan sedemikian, bukan sahaja mengurangkan beban kewangan peneroka, malah menyokong kelangsungan komuniti FELDA untuk generasi akan datang.
“Ini sedikit sebanyak dapat melegakan perbelanjaan mereka, terutamanya untuk kelangsungan hidup dalam memiliki rumah. Pada masa sama, mereka dapat meneruskan kehidupan dan mencari rezeki di kawasan FELDA tanpa perlu berhijrah keluar,” katanya ketika dihubungi RTM.
Mengulas mengenai aspek digital, Dr. Mustazar berpendapat peruntukan sebanyak RM15.85 juta bagi meningkatkan kemudahan digital di 317 rancangan FELDA turut dijangka memberi impak positif kepada pembangunan ekonomi komuniti peneroka.
“Penambahbaikan kemudahan internet serta infrastruktur digital mampu mengatasi kekangan capaian teknologi di kawasan luar bandar, seterusnya membolehkan lebih ramai usahawan dan syarikat pemula mengembangkan perniagaan menerusi platform dalam talian.
“Aspek digital amat penting kerana masih terdapat kekangan dari segi capaian internet, telekomunikasi dan kemudahan WiFi di kawasan luar bandar.
“Dengan infrastruktur digital yang lebih baik, kos operasi usahawan dan syarikat pemula dapat dikurangkan, sekali gus memudahkan mereka menjalankan perniagaan secara dalam talian dengan lebih berkesan,” katanya.
Menurut beliau, akses digital yang lebih baik bukan sahaja membantu memperluaskan penggunaan platform e-dagang, malah mewujudkan sumber pendapatan tambahan kepada peneroka selain aktiviti ekonomi utama mereka.
Pada Selasa, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tujuh inisiatif kepada warga FELDA sempena Sambutan Hari Peneroka dan 70 Tahun FELDA merangkumi perumahan, digitalisasi, pendidikan dan kesihatan sebagai usaha memperkukuh kesejahteraan komuniti peneroka di seluruh negara.
Antara inisiatif yang diumumkan adalah peruntukan RM150 juta bagi meneruskan pembinaan 554 unit rumah terbengkalai di Johor dan Terengganu untuk manfaat generasi baharu FELDA.
Selain, peruntukan tambahan RM20 juta bagi menyiapkan Projek SKF di dua lokasi iaitu Laka Selatan, Kedah membabitkan 86 unit rumah dan Palong 16, Negeri Sembilan sebanyak 100 unit.
Dalam masa sama, kerajaan turut meluluskan RM450 juta bagi membaik pulih dan membina rumah baharu petugas Felda secara berperingkat.