PRN Johor: Calon PH komited perkasa kehidupan warga emas

Foto RTM

JOHOR BAHRU, 10 Julai – Pemerkasaan warga emas menjadi antara komitmen utama calon Pakatan Harapan (PH) di kawasan sekitar pusat bandar Johor Bahru.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tumpuan disebabkan peningkatan warga emas tinggal bersendirian selepas anak berkahwin atau melanjutkan pengajian.
  • Pendekatan menyeluruh meliputi infrastruktur, kesihatan, kebajikan, perundangan dan penglibatan komuniti untuk tingkatkan kualiti hidup warga emas.
  • Sediakan lebih banyak program mesra warga emas supaya kehidupan mereka lebih aktif, bermakna dan mengurangkan risiko dementia serta penyakit Parkinson.
  • Usaha kebajikan warga emas memberi manfaat kepada keluarga dan masyarakat; cadangan termasuk persekitaran mesra, isu perumahan dan galakkan kehidupan aktif.

Calon PH N48 Skudai, Kartiyaini Jeyapalan berkata, tumpuan itu diberikan susulan peningkatan jumlah warga emas yang tinggal bersendirian selepas anak-anak mereka berkahwin atau melanjutkan pengajian.

Usaha berkenaan bertujuan meningkatkan kualiti hidup, kesejahteraan dan kebahagiaan warga emas menerusi pendekatan menyeluruh yang merangkumi aspek infrastruktur, kesihatan, kebajikan, perundangan serta penglibatan aktif dalam komuniti.

“Jadi, kita perlu mencari penyelesaian untuk semua warga emas di kawasan ini agar kebajikan dan keselesaan mereka sentiasa terpelihara.

“Pada masa sama, kita juga mahu menceriakan kehidupan mereka. Mereka tidak sepatutnya hidup dalam sebuah komuniti yang tiada aktiviti untuk disertai selain menghabiskan masa di kedai kopi, bersarapan, kemudian pulang ke rumah.

“Kita mahu menyediakan lebih banyak program yang mesra warga emas supaya kehidupan mereka menjadi lebih aktif dan bermakna.

“Melalui usaha ini, kita berharap dapat membantu mengurangkan risiko masalah kesihatan seperti dementia dan penyakit parkinson dalam kalangan warga emas,” katanya kepada pemberita selepas beramah mesra dengan pengunjung di sini.

Sementara itu, Calon PH N45 Stulang, Andrew Chen Kah Eng menegaskan, usaha sedemikian perlu diteruskan kerana memberi manfaat kepada institusi keluarga dan masyarakat.

“Usaha menjaga kebajikan dan keperluan warga emas bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan itu, malah turut memberi manfaat kepada institusi keluarga dan masyarakat,” katanya.

Antara cadangan dikemukakan ialah mewujudkan persekitaran mesra warga emas, menangani isu perumahan dan menggalakkan kehidupan aktif.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.