PERKESO sedia opsyen ‘opt-out’ LINDUNG 24 Jam mulai Isnin

Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO

KUALA LUMPUR, 10 Julai– Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan menyediakan opsyen ‘opt-out’ bagi Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) secara dalam talian mulai Isnin ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pekerja yang mahu keluar mesti melengkapkan Perakuan Pelepasan Liabiliti sebelum dikecualikan daripada perlindungan LINDUNG 24 Jam.
  • Caruman untuk pekerja asing kekal mandatori; hanya pekerja tempatan dijadikan pilihan.
  • Jika tidak mencarum, PERKESO atau majikan tidak bertanggungjawab terhadap kemalangan, kecederaan atau kematian di luar waktu bekerja.
  • Pekerja boleh sertai semula bila-bila masa tetapi perlindungan berkuat kuasa hanya selepas caruman disambung semula.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, langkah itu susulan keputusan Jemaah Menteri menjadikan skim berkenaan sebagai pilihan bagi pekerja tempatan.

Menurut beliau, caruman untuk pekerja asing pula kekal mandatori.

Jelasnya, pekerja yang memilih untuk keluar daripada skim itu perlu melengkapkan Perakuan Pelepasan Liabiliti sebelum dikecualikan daripada perlindungan LINDUNG 24 Jam.

Perakuan itu penting bagi memastikan tiada implikasi perundangan bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

“Sesiapa yang ingin keluar daripada skim ini perlu mengisi borang Perakuan Pelepasan Liabiliti.

Jika mereka memilih untuk tidak mencarum, PERKESO ataupun majikan tidak akan bertanggungjawab sekiranya berlaku kemalangan, kecederaan atau kematian di luar waktu bekerja,” katanya.

Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz berkata demikian pada sidang media di Menara PERKESO, hari ini.

Tambah beliau, pekerja yang memilih untuk keluar masih boleh menyertai semula skim berkenaan pada bila-bila masa.

Bagaimanapun, perlindungan hanya berkuat kuasa selepas caruman disambung semula.

Dalam pada itu, beliau menggesa pekerja tempatan supaya terus mencarum.

“Caruman hanya 0.75 peratus sahaja. Anggaplah ini sebagai satu pelaburan demi masa depan anak-anak, isteri dan keluarga.

Jangan menganggapnya sebagai beban kerana kemalangan tidak berbau,” katanya.

Ujar beliau lagi, LINDUNG 24 Jam menyediakan pelbagai faedah termasuk gantian pendapatan, rawatan perubatan, faedah hilang upaya dan faedah kepada orang tanggungan sekiranya berlaku kematian pencarum.

Setakat 9 Julai, seramai 207,000 majikan telah mendaftar di bawah skim itu melibatkan 2.27 juta pekerja.

Mereka terdiri daripada 1.92 juta pekerja tempatan dan 307,000 pekerja asing, dengan jumlah caruman terkumpul sebanyak RM58 juta.

Sejak skim itu dilaksanakan pada 1 Jun lalu, PERKESO merekodkan 1,056 tuntutan bersamaan purata 27 kes sehari.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengulas mengenai kemampanan skim itu selepas pelaksanaannya dijadikan pilihan bagi pekerja tempatan.

“Kita perlu melihat trend dan juga tuntutan dalam beberapa bulan akan datang. Selepas itu kita akan membuat kajian dan mengemukakan syor kepada kerajaan menjelang hujung tahun ini,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.