Maghribi akan bangkit menjelang Piala Dunia 2030

Maghribi tersingkir selepas tewas 0-2 kepada Perancis. Foto/AFP

BOSTON, 10 JULAI -Maghribi akan bangkit dengan skuad lebih kuat ketika menjadi tuan rumah Piala Dunia edisi 2030.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ouahbi dilantik ketua jurulatih pada Mac, menggantikan Walid Regragui yang meninggalkan pasukan selepas membawa Maghribi ke final AFCON.
  • Skuad muda berbakat dan persatuan bola sepak kukuh memberi asas kuat untuk pembangunan dan kemajuan pasukan.
  • Cabaran seterusnya termasuk kempen AFCON 2027 di Kenya, Uganda dan Tanzania, kemudian memberi tumpuan kepada Piala Dunia 2030.
  • Pengalaman Piala Dunia akan mematangkan pemain muda dan Ouahbi menegaskan perlunya kerja lebih keras untuk memperbaiki prestasi.

Demikian janji Jurulatih Maghribi, Mohamed Ouahbi selepas skuad Atlas Lions tersingkir pada pusingan suku akhir apabila tewas 0-2 ditangan Perancis pada Khamis.

“Perancis adalah pasukan yang hebat. Kami berdepan dengan negara yang sudah mara ke final Piala Dunia terakhir kali kedua berturut-turut. Mereka memiliki begitu banyak pemain berbakat.

“Kami tahu kami boleh bersaing. Apa yang kami mahu lakukan ialah bekerja lebih kuat untuk menjadi lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Ouahbi mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih pada Mac lalu menggantikan Walid Regragui yang meninggalkan pasukan selepas membawa Maghribi ke pentas akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) di laman sendiri awal tahun ini.

Cabaran seterusnya Maghribi ialah kempen AFCON 2027 di Kenya, Uganda dan Tanzania sebelum memberi tumpuan kepada Piala Dunia 2030 yang akan dianjurkan bersama Sepanyol dan Portugal.

“Kami mempunyai banyak bakat muda dan sebuah persatuan bola sepak yang kukuh. Kami memiliki segala yang diperlukan untuk terus berkembang dan bergerak ke hadapan,” kata Ouahbi.

Beliau turut percaya pengalaman di pentas Piala Dunia kali ini akan membantu pasukan muda Maghribi menjadi lebih matang.

“Kami mempunyai pasukan muda yang berbakat dan mahu terus memperbaiki diri. Kejohanan ini akan membantu kami berkembang,” katanya. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.