“Anak kita belum tentu baik, mungkin ada ‘bom jangka’ yang kita terlepas pandang”

Foto janaan AI

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Buli meninggalkan luka emosi yang berakar, tekanan terpendam boleh mencapai titik pecah dan mencetuskan tindakan di luar kawalan.
  • Buang ego "anak sentiasa baik"; renung kisah Nabi Yaakub, siasat laporan tanpa prejudis demi masa depan anak.
  • Akta Antibuli memperkenalkan liabiliti bersama ibu bapa; pengabaian boleh menyebabkan pampasan tinggi, denda dan tindakan undang-undang.
  • Jadikan rumah tempat selamat; peka kepada tanda kecemasan, dekati mangsa dengan lembut dan beri sokongan tanpa menghakimi.

Kejadian melibatkan pelajar sekolah yang nekad bertindak balas secara fizikal terhadap yang dipercayai sebagai pembulinya baru-baru ini telah mencetuskan perbincangan hangat di media sosial.

Pelbagai sudut pandang dilemparkan masyarakat. Ada yang mengecam tindakan tersebut, ada juga yang mula mencari punca di sebalik kejadian dan tidak kurang ramai juga yang bersimpati dengan pelaku.

Hal ini memandangkan kesan menjadi mangsa buli begitu teruk hingga membuatnya nekad bertindak sedemikian.  Kita semua bersetuju bahawa sebarang bentuk kekerasan fizikal tidak boleh disokong sama sekali.

Namun, insiden sebegini menuntut kita untuk melihat lebih dalam tentang apa sebenarnya yang ditanggung oleh emosi seorang mangsa. Isu buli bukan sekadar drama remeh alam persekolahan, ia merupakan krisis kemanusiaan yang berupaya membina ‘bom jangka’ emosi di dalam senyap.

Kesan Buli: Luka Emosi yang dibawa ke Tua

Masyarakat perlu sedar betapa dahsyatnya kesan buli terhadap kesihatan fizikal dan mental seseorang. Walaupun kecederaan luaran mungkin boleh pulih dalam masa yang singkat, parut emosi yang ditinggalkan selalunya berakar umbi sehingga mangsa menapak ke alam dewasa.

Bagi mangsa yang terperangkap, melangkah ke kawasan sekolah setiap hari dirasakan tidak tumpah seperti memasuki zon penyerangan. Ketakutan yang berterusan ini boleh diibaratkan seperti sebiji belon yang ditiup angin tanpa henti.

Apabila tekanan, rasa terhina, dan kemarahan dipendam terlalu lama tanpa sebarang saluran pelepasan, belon tersebut akhirnya akan meletup juga. Fasa breaking point (tahap kemuncak) inilah yang mendorong tindakan di luar kawalan apabila mangsa berasa diri mereka sudah buntu dan tiada lagi pelindung untuk bergantung harap.

Ego “Anak Aku Sentiasa Baik” dan Ibrah Kisah Nabi Yaakub A.S

Antara cabaran terbesar dalam menangani krisis ini adalah kesukaran ibu bapa untuk menerima hakikat sekiranya anak yang dididik di rumah rupanya merupakan seorang pembuli di luar.

Kita sering kali mempertahankan darah daging sendiri dengan andaian bahawa anak kita tidak akan tergamak melakukan perbuatan kejam sedemikian. Namun, realitinya manusia mampu memamerkan watak yang berbeza mengikut keadaan sekeliling.

Anak yang kelihatan patuh dan lemah-lembut di rumah, belum tentu tidak berubah menjadi individu yang agresif di sekolah semata-mata untuk meraih perhatian rakan sebaya atau memuaskan ego sendiri.

Sebagai iktibar untuk meruntuhkan tembok penafian (in denial) ini, marilah kita merenung kembali sirah Nabi Yaakub A.S. Baginda merupakan seorang Nabi Allah yang mulia dan pastinya telah menerapkan acuan akhlak serta bimbingan iman yang paling sempurna kepada zuriatnya.

Bagaimanapun, takdir menguji apabila majoriti anak-anak baginda tewas kepada hasad dengki sehingga tergamak mengkhianati dan membuang adik kandung mereka sendiri, Yusuf A.S. ke dalam perigi buta.

Malah, mereka juga menyusun helah yang rapi di hadapan bapa mereka dengan membawa pakaian yang dilumuri darah palsu. Sekiranya anak seorang nabi pun boleh mempunyai sisi gelap tersembunyi, siapakah kita sebagai manusia biasa untuk mendabik dada menjamin kesucian perlakuan anak kita 100%?

Oleh itu, sekiranya ada pihak yang tampil membuat aduan, ketepikan ego dan selidikilah terlebih dahulu demi masa depan anak itu sendiri. Sikap terbuka kita mungkin dapat menyelamatkan jiwa seseorang.

Kesedaran Undang-Undang: Ibu Bapa Kini Boleh Diheret ke Muka Pengadilan

Bagi mereka yang masih memandang remeh aspek moral dan agama, sedarlah bahawa sistem perundangan negara kini tidak lagi berkompromi. Melalui penguatkuasaan Akta Antibuli 2026 (Akta 876), kerajaan Malaysia telah memperkenalkan prinsip liabiliti bersama terhadap keluarga (shared family responsibility).

Ini bermakna, sikap lepas tangan atau keengganan ibu bapa untuk mendidik anak tentang bahaya membuli kini mempunyai implikasi undang-undang yang amat berat. Di bawah institusi Tribunal Bagi Antibuli (TAB), ibu bapa boleh dipertanggungjawabkan atas salah laku anak mereka yang berumur bawah 18 tahun.

Malah, panel tribunal mempunyai kuasa penuh untuk mengarahkan pelaku atau penjaga membayar pampasan maksimum sehingga RM250,000 kepada mangsa selain perintah wajib seperti permohonan maaf dan sesi pemulihan.

Pengabaian terhadap perintah ini boleh mengakibatkan tindakan jenayah. Justeru, mempertahankan kesalahan anak secara membuta tuli bukan lagi jalan selamat, bahkan boleh memusnahkan reputasi dan kewangan keluarga.

Guru dan Rakan Sekelas: Pasukan Bantuan Awal Penyelamat Jiwa

Di manakah peranan komuniti sekolah semasa rantaian buli ini sedang berlaku? Kita perlu sedar bahawa para pendidik dan rakan sekelas yang berada di persekitaran mangsa serta pelaku merupakan first responderatau pasukan bantuan kecemasan yang paling awal.

Anda adalah benteng pertama yang berupaya mengesan tanda-tanda awal gejala ini sebelum ia bertukar parah. Tolong kikis sikap tidak endah atau menganggap budaya buli fizikal mahupun lisan
ini sebagai sekadar ‘gurauan biasa dunia remaja’.

Jangan biarkan kezaliman berlaku di depan mata tanpa sebarang tindakan intervensi. Kepada para pelajar, buang ketakutan daripada dilabel dengan gelaran buruk seperti ‘kaki report’, ‘anak emas cikgu’, atau ‘kaki mengadu’.

Kepada pengurusan sekolah pula, jangan biarkan kebimbangan terhadap KPI atau ‘reputasi buruk institusi’ mendorong kita untuk menyembunyikan kes di bawah karpet.

Sila ingat, ada perkara yang jauh lebih bernilai daripada nama baik organisasi atau gelaran komuniti iaitu ada nyawa, maruah, dan masa depan anak bangsa yang perlu kita selamatkan sebelum segala-galanya terlambat! Langkah berani anda hari ini berpotensi besar menyelamatkan satu kehidupan daripada hancur.

Menjadikan Rumah Sebagai ‘Pintu Kecemasan’ dan Syurga Sebenar

Bagi ibu bapa yang anaknya menjadi sasaran buli, fahami bahawa mangsa selalunya memilih untuk merahsiakan penderitaan mereka kerana enggan dilihat lemah atau membebankan fikiran penjaga.

Di sinilah konsep asas ‘Rumahku Syurgaku’ perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan realistik, bukan sekadar ungkapan lisan.

Ini merupakan seruan buat seluruh ahli keluarga terutama ibu, bapa, serta adik-beradik. Ayuh kita sama-sama membentuk ruang domestik yang membolehkan setiap ahli keluarga merasakan bahawa kita adalah ‘rumah’ yang hakiki buat mereka.

Sebuah tempat untuk berlindung daripada tekanan dunia luar, tempat berehat yang mendamaikan, zon selamat tanpa prejudis, serta lubuk kepercayaan untuk meluahkan segala rahsia hati.

Jika sesama manusia yang tiada pertalian darah pun kita dituntut untuk berkongsi empati dan kasih sayang, apatah lagi melibatkan zuriat dan keluarga sendiri. Bak kata pepatah, cubit peha kiri, peha kanan terasa.

Sangat tidak berperikemanusiaan sekiranya kita membiarkan ahli keluarga kita bergelut bersendirian menahan impak buli tanpa mendapat sokongan padu daripada rumah—sama ada dari sudut kestabilan emosi, sokongan mental, mahupun tindakan undang-undang.

Oleh itu, peka dengan sebarang perubahan drastik pada sikap anak atau adik-beradik anda. Jika mereka tiba-tiba mengasingkan diri, ada kesan cedera pada anggota badan, keputusan akademik merosot teruk, atau kerap memberikan alasan enggan ke sekolah, itu adalah isyarat kecemasan (red flags).

Elakkan daripada menyerang mereka dengan gaya soal siasat yang menakutkan. Sebaliknya, dekati mereka secara halus sewaktu keadaan tenang.

Pancing emosi mereka dengan tutur kata yang lembut bagi meyakinkan mereka bahawa walau seburuk mana pun badai di luar sana, rumah mereka adalah tempat yang paling selamat untuk pulang dan bercerita tanpa diadili.

Berikan sokongan yang tidak berbelah bagi sekiranya ada ahli keluarga kita menjadi mangsa buli!

Memutus Rantaian Bersama

Tindakan menamatkan kitaran buli memerlukan komitmen kolektif daripada setiap lapisan masyarakat. Keganasan tidak akan pernah menjadi solusi, ia sekadar melahirkan rantaian mangsa yang baharu.

Mari kita jadikan isu semasa ini sebagai titik kesedaran untuk lebih cakna terhadap kestabilan emosi anak-anak kita. Sebelum belon itu meletup, kitalah yang bertanggungjawab mengeluarkan anginnya.


Siti Nurashidah Roslan
Pensyarah
Jabatan Pengurusan & Perniagaan
Fakulti Ekonomi, Perakaunan & Pengurusan
Universiti Islam Selangor
E-mel: nurashidah@uis.edu.my


Fadilah Mat Nor
Pensyarah
Jabatan Ekonomi Kewangan
Fakulti Ekonomi, Perakaunan & Pengurusan
Universiti Islam Selangor

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.