Tujuh inisiatif Felda dijangka perkukuh ekonomi peneroka

Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff/Foto BERNAMA 

KUALA LUMPUR, 9 Julai Pengumuman tujuh inisiatif kepada peneroka Felda dijangka dapat mewujudkan kesan limpahan ekonomi kepada komuniti setempat sekali gus membentuk ekosistem luar bandar yang lebih dinamik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemulihan model jualan minyak sawit mentah dijangka meningkatkan pulangan Koperasi Permodalan Felda dan memberi manfaat kewangan tambahan kepada peneroka.
  • Peruntukan RM990 juta bagi bayaran balik pinjaman dan penghapusan hutang memperbaiki aliran tunai serta menyokong pelaburan semula dalam ladang.
  • Projek perumahan generasi baharu menarik belia kekal di Felda, mengekalkan tenaga kerja dan merangsang peluang pekerjaan dalam sektor pembinaan serta PKS.
  • Pelaburan pendidikan, kemahiran dan literasi digital mempertingkat kualiti modal insan serta membuka peluang e-dagang dan pasaran lebih luas untuk usahawan FELDA.

Penganalisis ekonomi Putra Business School, Prof. Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata inisiatif tersebut berpotensi memperkukuh industri sawit negara, selain menyokong pembangunan kawasan tanah rancangan secara lebih menyeluruh.

“Bagi industri sawit, keputusan mengembalikan model penjualan minyak sawit mentah kepada sistem asal amat signifikan kerana ia dijangka meningkatkan pulangan kepada Koperasi Permodalan Felda (KPF), sekali gus memberi manfaat kewangan tambahan kepada para peneroka.

“Apabila pendapatan daripada sektor sawit meningkat, peneroka akan mempunyai kapasiti yang lebih besar untuk melabur semula dalam ladang masing-masing melalui penggunaan benih berkualiti, peningkatan mekanisasi, penggunaan teknologi pertanian serta amalan pengurusan yang lebih cekap,” katanya.

Dalam masa sama, peruntukan RM990 juta bagi membiayai bayaran balik pinjaman termasuk penghapusan hutang peneroka berpotensi meningkatkan produktiviti secara mampan serta membolehkan peneroka mempunyai aliran tunai yang lebih baik.

“Dana yang sebelum ini digunakan untuk pembayaran hutang boleh disalurkan kepada penyelenggaraan ladang, pembelian baja, penggunaan teknologi baharu serta usaha meningkatkan hasil tanaman. Keadaan ini membolehkan produktiviti ladang ditingkatkan secara berterusan,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau memaklumkan, penyelesaian projek perumahan generasi baharu Felda juga mampu menarik generasi muda untuk terus menetap dan membangunkan kawasan Felda, seterusnya memastikan tenaga kerja dan aktiviti ekonomi tempatan terus berkembang.

Pelaksanaan keseluruhan inisiatif berkenaan dapat memberi manfaat kepada sektor pembinaan, khususnya projek perumahan yang mampu membuka peluang pekerjaan kepada kontraktor, pembekal bahan binaan, sektor pengangkutan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Pelaburan dalam pendidikan dan pembangunan kemahiran juga dijangka meningkatkan kualiti modal insan generasi muda FELDA dan mempersiapkan mereka untuk menyertai ekonomi berasaskan teknologi serta industri bernilai tambah tinggi.

“Selain itu, peningkatan literasi digital pula mampu membantu usahawan FELDA memperluaskan perniagaan menerusi platform e-dagang, pemasaran digital dan transaksi tanpa tunai, seterus membuka akses pasaran yang lebih luas,” ujar beliau.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM2 bilion untuk warga Felda merangkumi bantuan kepada Felda, perumahan generasi baharu, manfaat kepada warga peneroka melalui Koperasi Permodalan Felda (KPF), perumahan petugas Felda, literasi digital, pendidikan dan kesihatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.