Isu capaian internet di Kampung Seberang Gajah bakal berakhir

Teo Nie Ching ketika meninjau perkhidmatan telekomunikasi bersama MCMC dan wakil syarikat penyedia perkhidmatan di Kampung Seberang Gajah/Foto RTM

TANGKAK, 9 Julai – Isu capaian internet yang dihadapi penduduk Kampung Seberang Gajah di sini bakal diselesaikan menerusi pembinaan sebuah menara telekomunikasi baharu yang dirancang di kawasan berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembinaan menara telekomunikasi baharu dirancang untuk menyelesaikan isu capaian internet di Kampung Seberang Gajah.
  • Dua menara sedia ada berhampiran gagal memberi liputan meluas dan memenuhi keperluan penduduk.
  • MCMC mengarahkan syarikat penyedia perkhidmatan membina menara baharu sementara permit pihak berkuasa tempatan sedang ditunggu.
  • Timbalan Menteri menggesa percepatkan kelulusan permit dan kerja pembinaan supaya penduduk dapat internet lebih stabil dan berkualiti.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata walaupun terdapat dua menara telekomunikasi sedia ada berhampiran kawasan itu, liputan yang disediakan masih tidak meluas dan gagal memenuhi keperluan penduduk setempat.

Beliau berkata susulan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengarahkan syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi membina menara baharu bagi menangani masalah liputan internet di kawasan tersebut.

“Pelan pembinaan menara baharu ini sudah dirancang dan pihak syarikat kini sedang menunggu kelulusan permit daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum kerja pembinaan dimulakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan prestasi perkhidmatan telekomunikasi bersama MCMC dan wakil syarikat penyedia perkhidmatan di Kampung Seberang Gajah, di sini, hari ini.

Sementara itu, Teo menggesa proses kelulusan permit dan kerja pembinaan menara berkenaan dipercepatkan bagi memastikan penduduk dapat menikmati perkhidmatan internet yang lebih stabil dan berkualiti dalam tempoh terdekat.

Turut hadir dalam sesi tinjauan itu ialah Ketua Pegawai Sektor Hal Ehwal Negeri Bukhari Yahya, Pengarah Pejabat Wilayah Selatan MCMC Rizal Abd Malek serta wakil syarikat telekomunikasi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.