
PUTRAJAYA, 9 Julai – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengehoskan majlis makan tengah hari rasmi bersempena dengan lawatan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul, di Seri Perdana.
- Para pelajar Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih dan penari Istana Budaya menyambut delegasi dengan laungan serta persembahan tarian selamat datang.
- Isteri pemimpin serta barisan menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri, Menteri Luar, dan Menteri Sumber Manusia turut hadir.
- Lawatan rasmi dua hari Anutin bertujuan memperkukuh hubungan dua hala dan memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama.
Kedua-dua pemimpin yang tiba bersama-sama pada 2.30 petang disambut dengan laungan “Selamat Datang ke Malaysia” oleh para pelajar Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih Chow Kit Kuala Lumpur yang hadir bagi menyambut ketibaan kedua-dua pemimpin itu dan delegasi Thailand.
Kumpulan penari daripada Istana Budaya turut mempersembahkan tarian selamat datang kepada delegasi berkenaan.
Majlis makan tengah hari itu turut dihadiri isteri Anutin Thananon Charnvirakul serta isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan.
Anutin tiba di Malaysia bagi mengadakan lawatan rasmi selama dua hari atas jemputan Anwar.
Lawatan itu merupakan kunjungan pertamanya ke negara ini sejak dilantik, semula sebagai Perdana Menteri pada Mac 2026.
Lawatan berkenaan bertujuan memperkukuh lagi hubungan dua hala yang erat antara Malaysia dan Thailand, selain memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang yang berkepentingan bersama.