OPR kekal 2.75 peratus: Sokong pertumbuhan ekonomi, stabilkan harga

Foto fail RTM

KUALA LUMPUR, 9 Julai Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus, disifatkan sebagai langkah tepat untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi negara dan kestabilan harga dalam persekitaran ekonomi global yang mencabar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dasar monetari BNM fokus memastikan kestabilan harga dalam persekitaran geopolitik global yang tidak menentu.
  • Langkah ini penting untuk mengekalkan inflasi terkawal tanpa menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi negara.
  • Pengekalan kadar membantu PKS merancang kewangan lebih baik, mempercepat automasi, pendigitalan dan pengembangan kapasiti.
  • Kestabilan kadar faedah mengukuhkan aliran tunai perniagaan dan menggalakkan pelaburan swasta menyokong pertumbuhan ekonomi.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata, pendirian dasar monetari semasa itu mencerminkan ekonomi negara masih berdaya tahan, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, prestasi eksport yang memberangsangkan serta pelaburan yang berterusan.

“Pada pandangan kami, fokus utama dasar monetari BNM ketika ini adalah untuk memastikan kestabilan harga, khususnya dalam persekitaran geopolitik global yang masih tidak menentu.

“Langkah ini penting bagi memastikan inflasi terus terkawal tanpa menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi, sekali gus mengekalkan kestabilan makroekonomi negara,” katanya ketika dihubungi RTM.

Tambah beliau, pengekalan OPR turut memberi manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi membantu syarikat merancang kewangan lebih baik, khususnya dalam membuat kos pembiayaan pinjaman.

“Keadaan ini amat penting ketika banyak PKS sedang mempercepatkan proses automasi, pendigitalan dan pengembangan kapasiti bagi meningkatkan produktiviti.

“Selain itu, kestabilan kadar faedah membantu mengukuhkan aliran tunai perniagaan serta menggalakkan lebih banyak pelaburan sektor swasta yang akhirnya menyokong pertumbuhan ekonomi negara,” katanya lagi.

Mengulas prospek OPR bagi baki tahun ini beliau berkata, tiada keperluan mendesak untuk BNM membuat sebarang pelarasan dasar monetari selagi kadar inflasi kekal sederhana dan pertumbuhan ekonomi berada dalam julat unjuran.

Menurut beliau, BNM dijangka terus mengekalkan OPR pada paras 2.75 peratus sehingga hujung tahun ini, bergantung kepada perkembangan data ekonomi semasa serta sebarang risiko luaran yang boleh menjejaskan prospek inflasi dan pertumbuhan.

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM hari ini mengumumkan keputusan untuk mengekalkan OPR pada paras 2.75 peratus, sekali gus mengekalkan kadar tersebut buat kali ketujuh berturut-turut sejak Julai 2025.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.