
PASIR MAS, 9 Julai – Sebanyak 1,800 kilogram beras yang disyaki diseludup dari Thailand dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara dalam satu operasi di Banggol Kong, Jeram Perdah, awal pagi Rabu.
- Dua lelaki tempatan, 27 dan 32 tahun, ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen muatan; kenderaan diperiksa.
- Beberapa guni berisi beras ditemui di bahagian belakang dan ruang simpanan kenderaan, disyaki diseludup dari Thailand.
- Suspek mengaku menerima arahan dari pangkalan haram untuk ambil bekalan; kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994.
Dalam operasi kira-kira pukul 1 pagi itu, dua lelaki tempatan berusia 27 dan 32 tahun turut ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, pihaknya menahan sebuah kenderaan yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan di bahagian tempat duduk belakang dan ruang simpanan kenderaan menemukan beberapa guni berisi beras seberat 1,800 kilogram.
“Kedua-dua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan muatan beras tersebut sebelum ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan RM17,200.
Siasatan awal mendapati beras berkenaan dipercayai diseludup masuk dari Thailand melalui laluan tidak sah.
Menurutnya, pemandu mengaku menerima arahan daripada seorang lelaki untuk mengambil bekalan beras di sebuah pangkalan haram di Jeram Perdah sebelum dihantar ke Tanah Merah.
Katanya, suspek juga mengaku berurusan dengan seorang lelaki warga Thailand bagi mendapatkan bekalan beras tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994.