
PETALING JAYA, 9 Julai -Penganjuran Kiwanis Treasure Hunt 2026 dijangka menghimpunkan sekitar 60 buah kereta sebagai usaha mengumpul dana bagi memastikan kelangsungan operasi pusat intervensi awal kanak-kanak sindrom Down yang dikendalikan Kiwanis Malaysia.
- Hasil kutipan disalurkan sepenuhnya untuk menampung kos operasi pusat intervensi awal Kiwanis bagi kanak-kanak sindrom Down usia dua bulan hingga enam tahun.
- Pusat menawarkan terapi profesional dan latihan perkembangan awal dengan yuran disubsidi mengikut kemampuan keluarga untuk memastikan akses rawatan dan pendidikan.
- Intervensi awal penting bagi perkembangan fizikal, kemahiran motor dan keupayaan mengurus diri sendiri serta membina keyakinan dan berdikari.
Presiden Kiwanis Malaysia, Rosemary Tan Mei Leng, berkata program yang memasuki edisi ke-43 itu merupakan acara kutipan dana paling ikonik pertubuhan berkenaan dan telah dianjurkan secara berterusan sejak lebih empat dekad lalu.
Beliau berkata, hasil kutipan program itu akan disalurkan sepenuhnya bagi menampung kos operasi pusat intervensi awal Kiwanis yang memberi perkhidmatan kepada kanak-kanak sindrom Down dari usia seawal dua bulan sehingga enam tahun.
Jelas Rosemary, pusat berkenaan menawarkan terapi profesional dan latihan perkembangan awal pada kadar yuran yang disubsidi mengikut kemampuan keluarga, sekali gus memastikan lebih ramai kanak-kanak mendapat akses kepada rawatan dan pendidikan yang diperlukan.
Katanya, intervensi awal memainkan peranan penting dalam membantu perkembangan fizikal, kemahiran motor serta keupayaan kanak-kanak mengurus diri sendiri sebelum memasuki alam persekolahan.
“Matlamat kami adalah membantu mereka membina keyakinan dan berdikari. Tanpa intervensi awal, kanak-kanak sindrom Down berisiko menghadapi kesukaran dalam perkembangan fizikal dan kehidupan harian,”” katanya pada majlis pelancaran Kiwanis Treasure Hunt 2026 .
Tambah beliau, selain menjadikan sokongan kepada komuniti sindrom Down sebagai projek kebajikan utama, Kiwanis Malaysia turut melaksanakan pelbagai inisiatif lain termasuk bantuan makanan ketika pandemik COVID-19 serta bantuan pendidikan kepada keluarga berpendapatan rendah (B40).
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan penaja korporat yang terus memberikan kepercayaan dan sokongan kepada Kiwanis dalam menjayakan pelbagai program kebajikan demi kesejahteraan kanak-kanak dan komuniti yang memerlukan.