
SUBANG JAYA, 9 Julai– Kompleks logistik penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bernilai RM80 juta di Subang dijangka memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab aeroangkasa serantau.
- Projek dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara Malaysia Airports Holdings Berhad dan Mitsui Fudosan Group.
- Mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam kejuruteraan aeroangkasa, teknikal, penyelenggaraan dan memperkukuh pendidikan TVET.
- Kompleks dibangunkan di tapak 4.42 ekar Subang Aerotech Park dengan 254,420 kaki persegi ruang industri, siap suku tiga 2027.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pembangunannya dilaksana menerusi kerjasama strategik antara Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Mitsui Fudosan Group.
Jelas beliau inisiatif berkenaan bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa, teknikal dan penyelenggaraan pesawat.
“Subang merupakan sebahagian daripada visi terbesar kami untuk menjadikan Malaysia sebagai hab MRO bagi industri aeroangkasa.
Saya rasa kami melakukannya dengan baik. Terdapat banyak minat yang datang ke Malaysia, terutamanya di Subang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pecah tanah Projek Subang MRO Logistics Complex, di sini, hari ini.
Anthony berkata, Malaysia kini merupakan pemain MRO ketiga terbesar di rantau Asia Pasifik, sekali gus mencerminkan kekuatan industri aeroangkasa negara.
Katanya, pembangunan infrastruktur secara berterusan penting bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam sektor berkenaan.
“Akan ada lebih banyak minat dan pelaburan daripada operator MRO, bukan sahaja daripada industri aeroangkasa tetapi juga sektor penerbangan perniagaan.
Ini merupakan petanda baik untuk industri aeroangkasa negara kerana ia akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, khususnya dalam kejuruteraan aeroangkasa, bidang teknikal serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya.
Kompleks berkenaan dibangunkan di atas tapak seluas 4.42 ekar di Subang Aerotech Park.
Ia menyediakan kira-kira 254,420 kaki persegi ruang industri sedia guna untuk pemain industri penerbangan, aeroangkasa dan logistik.
Projek berkenaan dijangka siap pada suku ketiga 2027, sebelum memulakan operasi pada suku keempat tahun sama.